Selangor Coffee Festival 2025 Angkat Martabat Industri Kopi Tempatan
- oleh MDaily Editor
- 10 Oct 2025 12:25 pm

Industri kopi tempatan terus mendapat perhatian apabila Kerajaan Negeri Selangor melalui Tourism Selangor bakal menganjurkan Selangor Coffee Festival (SELCOFF) 2025, festival kopi terbesar di negeri ini yang bertujuan memperkasa serta memartabatkan komuniti kopi tempatan ke peringkat serantau dan antarabangsa.
Festival yang bakal berlangsung dari 17 hingga 19 Oktober 2025 di The Curve, Damansara, Petaling Jaya ini dijangka menghimpunkan lebih 30 pemain industri kopi tempatan dan antarabangsa, termasuk penyertaan dari Vietnam, Indonesia, Singapura serta beberapa negara jiran lain.
Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Tourism Selangor, Chua Yee Ling, penganjuran SELCOFF 2025 adalah hasil inisiatif proaktif Tourism Selangor selaras dengan peruntukan RM1 juta yang diumumkan oleh YAB Dato’ Seri Amirudin Shari, Dato’ Menteri Besar Selangor dalam Belanjawan Negeri Selangor 2025, bagi memperkukuh dan memperkasa industri kopi negeri.
“SELCOFF 2025 bukan sekadar pesta untuk pencinta kopi, tetapi platform strategik bagi pemain industri berkongsi ilmu, meneroka teknologi baharu serta memahami trend global yang semakin berkembang pesat,”
“Festival ini akan menjadi pentas utama untuk memperkenalkan jenama kopi tempatan ke pasaran serantau dan global, sekali gus mengukuhkan kedudukan Selangor sebagai hab kopi serta destinasi pelancongan gaya hidup utama di rantau ini,” katanya ketika berucap pada sidang media pelancaran SELCOFF di The Curve, hari ini.
Menariknya, festival ini turut menampilkan pengusaha dan pembuat kopi dari sembilan (9) daerah di seluruh Selangor, sebagai simbol kepelbagaian citarasa dan keunikan kopi tempatan yang wajar diketengahkan ke pentas antarabangsa.
Antara pengisian utama festival termasuk pameran kopi, pertandingan barista, bengkel interaktif, dan forum industri, selain acara kemuncak ASEAN Barista Championships yang akan mempertemukan barista terbaik Asia Tenggara.
Acara ini bukan sahaja memberi peluang kepada barista tempatan mempamerkan bakat, malah membuka ruang kolaborasi dan perkongsian ilmu bersama pakar kopi antarabangsa.
Selain aktiviti berteraskan kopi, pengunjung turut disajikan dengan pelbagai acara gaya hidup dan hiburan menarik, termasuk konsert khas menampilkan barisan artis popular seperti Aizat Amdan, Bunga Isme, 6ixth Sense dan Tam Spider, yang bakal menghangatkan suasana malam sepanjang festival berlangsung.
Sebagai tambahan, festival ini turut menyediakan gelanggang pickleball percuma kepada pengunjung sebagai sebahagian usaha menggalakkan gaya hidup sihat dan aktif.
Penganjuran SELCOFF 2025 turut seiring dengan aspirasi Tahun Melawat Selangor 2025 (Visit Selangor Year 2025) di bawah tema “Selangor Kan Ada”, yang menekankan pelancongan gaya hidup, gastronomi dan acara bertaraf antarabangsa bagi menarik lebih ramai pelancong ke negeri ini.
Dengan sasaran kehadiran lebih 30,000 pengunjung, termasuk pencinta kopi, penggiat industri F&B, barista profesional, usahawan muda dan pelancong antarabangsa, SELCOFF 2025 dijangka menjadi antara acara pelancongan utama tahun ini sekaligus mengangkat martabat industri kopi tempatan ke peringkat serantau dan global.