Ikuti Kami:

Selami Watak Ibu Tunggal Terbeban, Ezzaty Abdullah Kini Lebih Fahami Fungsi PERKESO

Selami Watak Ibu Tunggal Terbeban, Ezzaty Abdullah Kini Lebih Fahami Fungsi PERKESO

Pelakon popular, Ezzaty Abdullah, mengakui pengalamannya menjayakan iklan raya Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) berjudul “Janji Ibu” memberi perspektif baharu kepadanya tentang kepentingan perlindungan sosial dalam masyarakat.

​Memegang watak sebagai seorang ibu tunggal yang bekerja sebagai penghantar makanan (rider), Ezzaty berkata karakter tersebut membuka matanya terhadap realiti golongan pekerja gig yang sering mengabaikan kebajikan diri demi kelangsungan hidup.

​”Watak ini mempamerkan sisi seorang ibu yang terlalu fokus membantu orang lain sehingga terlupa dirinya sendiri sebenarnya paling memerlukan bantuan.

“Dalam masyarakat kita, ramai yang rasa mereka kuat, namun jika berlaku kecelakaan, caruman itulah yang akan menjadi penyelamat utama keluarga,” katanya ketika ditemui di set penggambaran di sekitar Muzium Telekom, di sini, hari ini.

​Iklan raya Aidilfitri “Janji Ibu” yang turut menampilkan gandingan pelakon hebat, Syafie Naswip bersama pelakon muda, Umar Shakur, membawakan kelainan apabila mengangkat martabat golongan pekerja gig dan wanita sebagai tunjang utama keluarga.

​Melalui penceritaan yang dekat dengan nadi kehidupan masyarakat, PERKESO menekankan bahawa keselamatan sosial adalah keperluan asas bagi menjamin kelangsungan hidup pekerja serta keutuhan institusi keluarga.

​Bercerita lanjut mengenai pengalaman di lokasi penggambaran yang dijalankan di kawasan ikonik ibu kota itu, Ezzaty yang melakukan sendiri aksi menunggang motosikal berkata, pengalaman tersebut membantunya menyelami kepayahan sebenar seorang ‘rider’ yang terdedah kepada risiko di jalan raya.

​”Bukan sahaja untuk orang lain, saya sendiri sebagai usahawan memastikan kakitangan saya dicarum. Sebagai majikan, kita bertanggungjawab menyediakan ‘payung’ sebelum hujan,” katanya yang kini turut sibuk menguruskan perniagaan tepung kek premis yang telah mencecah jualan 18,000 unit.

​Nantikan kisah penuh emosi iklan raya PERKESO “Janji Ibu” yang dijadualkan menemui penonton pada Mac ini.

Komen
Loading...