Ikuti Kami:

“Selagi Ada” Sentuh Jiwa Penonton, Angkat Kasih Seorang Anak di Layar Perak

“Selagi Ada” Sentuh Jiwa Penonton, Angkat Kasih Seorang Anak di Layar Perak

Filem pendek “Selagi Ada” arahan anak tempatan, Paklong Zam, berjaya menyentuh hati penonton dengan kisah kasih sayang dan pengorbanan seorang anak terhadap ibunya, sekali gus mengangkat martabat karya tempatan ke layar perak.

Majlis Pra Tonton Eksklusif yang diadakan di Panggung Wayang MS Cinemas, Kampar Putra, anjuran ECCO Studio Production, berlangsung penuh meriah dan menerima sambutan hangat daripada penggiat industri, komuniti seni kreatif serta pencinta filem tempatan.


Pengarah Paklong Zam (kanan) bersama barisan pelakon Husna Mustaffa dan AG Hafiz.

Mohd Asrul Nizam Mohd Yusof atau lebih dikenali sebagai Paklong Zam, yang juga penerbit filem ini, berkata beliau berharap karya tersebut mampu membuka mata masyarakat tentang pentingnya menghargai insan tersayang selagi mereka masih ada.

“Kisah ini lahir daripada pengalaman sebenar saya. Ia adalah penghargaan untuk seorang ibu dan pengorbanan yang tidak ternilai. Saya mahu penonton merasai kasih itu, bukan sekadar menontonnya,” katanya.

Turut hadir memeriahkan acara ialah pelakon utama, Husna Mustaffa dan AG Hafiz, bersama barisan pelakon dan kru produksi yang menerima tepukan gemuruh sebaik tayangan berakhir.

Acara turut diserikan dengan sesi perkongsian bersama pengarah dan pelakon utama, di mana mereka berkongsi cabaran serta pengalaman sepanjang penggambaran.

Karya berdurasi 30 minit itu diinspirasikan daripada kisah benar kehidupan pengarah sendiri, menggambarkan realiti kasih seorang anak yang berkorban demi kebahagiaan ibunya.

Dengan olahan jalan cerita yang jujur dan sinematografi yang menyentuh perasaan, “Selagi Ada” berjaya mencipta suasana penuh emosi sepanjang tayangan.

Kekuatan mesej, lakonan berkesan dan sinematografi yang indah menjadikan “Selagi Ada” antara filem pendek tempatan paling berimpak tahun ini.

Ia membuktikan bahawa sentuhan anak tempatan seperti Paklong Zam mampu menghasilkan karya berkualiti tinggi yang meninggalkan kesan mendalam di hati penonton.

Komen
Loading...