“Selagi Ada” Naskhah Pendek Sarat Luka dan Pengorbanan Terpendam
- oleh Mohd Indera
- 40 saat lalu

Filem pendek berjudul Selagi Ada arahan pengarah tempatan Paklong Zam tampil sebagai karya menyentuh jiwa yang mengetengahkan tema kasih sayang tidak berbalas dan pengorbanan yang sering dipandang sepi.
Dihasilkan sepenuhnya di Seri Iskandar, Perak, naskhah berdurasi pendek ini berjaya membawa penonton menyelami kisah yang penuh dengan emosi, luka yang tersembunyi dan air mata yang tidak kelihatan.
Dengan barisan pelakon seperti Husna Mustaffa, AG Hafiz, Hilmi Azmin dan Putera Iskandar, filem ini memberi impak melalui penyampaian yang jujur dan menyayat hati.
Husna Mustaffa yang membintangi watak utama mengakui dirinya turut terbawa emosi ketika penggambaran berlangsung.
“Tengok pada penggambaran ni jadi macam excited pulak… tapi dalam masa sama, hati ni sebak. Cara penyampaian Paklong Zam, datang dari jiwa. Sangat ikhlas, sangat menyentuh,” katanya.
Selagi Ada menjadi peringatan halus namun berbekas tentang insan-insan yang memberi sepenuh hati namun sering tidak dihargai sehinggalah semuanya sudah terlambat. Filem ini turut membawa mesej agar masyarakat lebih menghargai dan menyayangi insan tersayang ketika mereka masih ada.
Paklong Zam (Kanan) semasa di set pengambaran Selagi Ada.
Bagi AG Hafiz yang hanya muncul dalam satu babak, naskhah ini tetap meninggalkan kesan mendalam.
“Walaupun satu scene, saya nampak cerita ni ada aura tersendiri. Tak perlu banyak kata, tapi rasa dia sampai,” jelasnya.
Projek ini turut mendapat sokongan pelbagai pihak termasuk STW, AHMarketing, Pakngah Air Balang, Jabatan Kesihatan Negeri Perak, Hospital Seri Iskandar, Pengiat Seni India Kinta, Amigo Hotel, MMCineplex, KM Tenggol, Pokmid Western, Bun Char Kuew Tiaw, AtokBro, YB Nizar Zakaria, Azim Yusof dan ramai lagi.
Orang ramai boleh mengikuti perkembangan filem ini menerusi hebahan rasmi Paklong Zam. Selagi Ada dijangka terus mencuri perhatian sebagai karya pendek yang sarat dengan mesej kemanusiaan dan nilai kekeluargaan yang menyentuh perasaan.