
Dengan sekali lafaz, pelakon popular Fattah Amin sah bergelar suami kepada penyanyi dan pelakon, Amira Othman dalam majlis akad nikah penuh sederhana namun meriah di Golden Palm Tree, Sepang, Selangor, malam Ahad.
Majlis akad nikah itu disempurnakan oleh bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri, manakala bapa pengantin perempuan bertindak sebagai wali.
Pada majlis berkenaan, Amira Othman menerima mas kahwin berupa seutas gelang tangan emas.
Pasangan ini turut berbalas hantaran, dengan pihak Fattah Amin atau nama penuhnya Abdul Fattah bin Mohd Amin, 35, menyerahkan lima dulang dan pihak Amira Othman atau nama penuhnya Nadia Amira Othman, 32, membalas dengan tujuh dulang.
Kehadiran puteri tunggal Fattah, Nur Fatima Aisya, mencuri perhatian apabila dia setia menemani bapanya sepanjang berlangsungnya majlis bersejarah itu.
Suasana penuh harmoni turut diraikan bersama ahli keluarga, rakan rapat dan kenalan dalam industri hiburan, menjadikan acara ringkas itu tetap sarat dengan makna.
Hubungan rapat Fattah dan Amira mula dihidu sejak hujung tahun lalu, sebelum mereka mencuri perhatian apabila dilihat bersama ke London pada Januari lalu bagi penggambaran muzik video.
Tidak lama selepas itu, mereka dilantik sebagai duta kempen raya jenama pakaian Jakel, sekali gus sering tampil berdua dalam acara rasmi dengan busana sedondon.
Spekulasi mengenai ikatan mereka kembali hangat pada Mei apabila timbul dakwaan kononnya Fattah bakal melamar Amira pada 25 Mei, namun pelakon itu menafikan dan menjelaskan belum ada tarikh ditetapkan ketika itu.
Selepas sekian lama berteka-teki, pasangan ini akhirnya mengumumkan mereka bakal disatukan pada Selasa lalu, bertepatan dengan ulang tahun kelahiran Fattah yang ke-35.
Untuk rekod, Fattah pernah mendirikan rumah tangga dengan aktres Fazura pada 27 November 2017, namun perkahwinan itu berakhir pada 7 Oktober tahun lalu.
Hasil perkongsian hidup mereka, pasangan itu dikurniakan seorang cahaya mata perempuan, Nur Fatima Aisya, yang kini berusia empat tahun.