Seeking Rahma 2025: Seruan Kasih Sayang, Keamanan dan Empati Global
- oleh Mohd Indera
- 2 minggu lalu

Komuniti Islam dan pencinta kemanusiaan dijemput menghadiri Seeking Rahma Gathering 2025: The Inevitable Promise, sebuah acara kerohanian dan solidariti bertaraf antarabangsa yang bakal berlangsung pada 24 dan 25 Mei ini di Auditorium Tun Azizan Zainal Abidin, Putrajaya.
Acara dua hari anjuran Rahma Worldwide ini dijangka menjadi platform penting untuk memperkukuh mesej kasih sayang, keamanan dan empati sejagat melalui pendekatan holistik melibatkan kuliah agama, perkongsian misi kemanusiaan dan persembahan seni bernuansa keinsanan.
Antara pengisian utama yang bakal menarik perhatian ialah kehadiran Grand Imam Michigan, Sheikh Dr. Shadi Zaza, yang terkenal dengan penglibatannya dalam lebih lima misi perubatan ke Gaza.
Beliau dijadualkan menyampaikan kuliah Grand Dhuha serta mengambil bahagian dalam sesi diskusi panel yang menyentuh isu-isu kemanusiaan semasa dari perspektif Islam.
Turut serta ialah Ketua Pegawai Eksekutif Rahma Worldwide, Ahmad Halabi, yang akan berkongsi pengalaman dari barisan hadapan misi bantuan ke Gaza dan rantau bergolak lain, memberikan gambaran sebenar tentang cabaran serta keperluan mendesak bantuan antarabangsa.
Acara kemuncak pada malam perhimpunan pula adalah konsert kemanusiaan bertajuk Symphony of Humanity, yang menampilkan artis nasyid antarabangsa Mohamed Tarek dan Hafiz Hamidun.
Persembahan istimewa ini bersempena pelancaran single duo antarabangsa pertama mereka yang membawa mesej keamanan dan kasih sayang sejagat.
Sesi khas bertajuk “The Inevitable Promise: The Women of Heavens” turut dijadualkan berlangsung, memberi fokus kepada peranan wanita sebagai agen rahmah dan kekuatan dalam masyarakat, selari dengan matlamat pemerkasaan komuniti.
Menurut penganjur, acara ini bukan sekadar satu himpunan ceramah tetapi sebuah ruang yang merangkul elemen spiritual, ilmu dan kemanusiaan untuk menyatukan ummah.
“Kami berharap acara ini menjadi satu perjalanan jiwa yang memupuk rahmat, kasih sayang dan solidariti. Ia adalah panggilan untuk menyemai nilai empati dan menyumbang kepada misi kemanusiaan global,” kata wakil Rahma Worldwide.
Orang ramai yang berminat untuk menghadiri acara ini boleh mendapatkan maklumat lanjut dan mendaftar melalui laman rasmi: www.seekingrahma.live.