Sebotol Air, Segunung Harapan: NEX Sasar RM200,000 Untuk Bantuan Palestin
- oleh Mohd Indera
- 5 Sep 2025 3:57 am

Jenama minuman tempatan, NEX melancarkan kempen khas “NEX & Fattah Amin Bersama Palestin” dengan sasaran kutipan sebanyak RM200,000 untuk disalurkan kepada rakyat Palestin yang terkesan akibat peperangan di Gaza.
Melalui kempen yang akan berlangsung pada 17 Oktober ini, NEX menyasarkan jualan 500,000 botol edisi terhad, yang bakal diedarkan di lebih 500 masjid seluruh negara selain platform dalam talian TikTok Shop dan Shopee.
Setiap pembelian akan menyumbang RM0.50 sebotol kepada tabung bantuan melalui kerjasama dengan NGO Cinta Gaza Malaysia (CGM) yang berpengalaman menyalurkan bantuan secara langsung ke Gaza.
Pelakon dan penyanyi terkenal, Fattah Amin yang juga duta kempen berkata, inisiatif itu bukan sekadar kerjasama komersial tetapi usaha menyatukan rakyat Malaysia dalam misi kemanusiaan.
“Ini bukan sekadar tentang sebuah jenama; ini tentang menggunakan platform kami untuk menyatukan rakyat Malaysia demi satu tujuan yang lebih besar. Kami berharap setiap hirupan membawa doa, setiap pembelian menyampaikan harapan,” katanya di majlis pelancaran yang diadakan di Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin, Putrajaya,semalam.
Turut hadir ialah Imam Muda Asyraf yang menyatakan sokongan penuh beliau sambil menegaskan bahawa botol edisi khas tersebut membawa makna lebih mendalam daripada sekadar minuman, sebaliknya menjadi simbol perpaduan umat Islam terhadap perjuangan Palestin.
“Sumbangan kecil seperti ini mampu memberikan kesan besar sekiranya dilakukan secara konsisten.“ katanya.
Dr. Syahid Sowell, Ketua Pegawai Strategik Cinta Gaza Malaysia (CGM), menzahirkan penghargaan terhadap inisiatif murni peniaga yang tampil menghulurkan sumbangan.
“Kami amat menyambut baik usaha ini. Dana yang diterima akan disalurkan dalam bentuk kotak bantuan makanan kepada keluarga yang memerlukan. Semoga langkah ini sedikit sebanyak dapat meringankan beban harian mereka, di samping menjadi simbol solidariti kita bersama saudara di Gaza,” katanya.
Beliau menambah, kerjasama antara syarikat tempatan dan selebriti diyakini dapat mempercepatkan penyaluran bantuan kepada keluarga yang terkesan di wilayah konflik.
NEX menegaskan, kempen ini adalah sebahagian daripada komitmen syarikat untuk memupuk semangat kebersamaan dan keprihatinan dalam kalangan rakyat Malaysia.
Ia sekali gus memberi peluang kepada orang ramai menjadikan pembelian sebotol air sebagai lambang solidariti dan harapan buat Palestin.