Ikuti Kami:

Search KidDin Rancang “Gemuruh 2” Tahun Depan, Puji Vokal Amir Masdi

Search KidDin Rancang “Gemuruh 2” Tahun Depan, Puji Vokal Amir Masdi

Gitaris legenda Search, Din, mengesahkan perancangan untuk mengadakan konsert Gemuruh 2 tahun depan, selepas kejayaan konsert pertama di Zepp Kuala Lumpur Jun lalu.

Menurut Din atau nama penuhnya Nordin bin Mohd Taib, 61, konsert itu kini dalam proses perancangan, dan mereka berharap dapat mempersembahkan sesuatu yang lebih mantap kepada peminat.

Din juga mengesahkan Konsert tersebut masih menggunakan khidmat Amir Masdi sebagai vokalis utama.

“Kami masih bersama Amir. Tahun depan, insya-Allah, kita akan buat Gemuruh 2,” kata Din kepada media selepas sidang media Konsert TRIAD baru-baru ini.

Din turut memuji komitmen Amir Masdi sebagai vokalis Search di konsert Gemuruh yang berjaya membuktikan kemampuannya menyampaikan 17 lagu tanpa bantuan prompter, walaupun baru dua bulan berlatih dengan kumpulan tersebut.

“Saya kagum dengan Amir. Dia mampu adaptasi dengan cepat dan membawakan lagu-lagu Search dengan baik. Apa yang paling penting, saya minta dia jadi diri sendiri, bukan meniru gaya Dato’ Amy,” ujar Din.

Ketika ditanya sama ada Amir akan dijadikan vokalis tetap Search, Din menjelaskan keputusan itu bergantung kepada jadual dan keutamaan Amir, yang kini aktif dengan kerjaya solonya.

“Saya tak mahu ganggu fokus dia dengan kerjaya solo, Kalau dia ada masa dan bersedia, kami sentiasa terbuka,” tambah Din.

Amir Masdi atau nama penuhnya Amir Syazwan Masdi, 28, baru melancarkan album solo keduanya berjudul AM:PM pada Oktober lalu, susulan kejayaan album pertamanya yang menerima sambutan hangat.

Din juga menyifatkan Amir sebagai salah satu pelapis penyanyi rock yang diperlukan untuk memastikan legasi muzik rock Malaysia terus hidup.

“Kita perlukan pelapis seperti Amir. Dia ada aura dan bakat untuk teruskan warisan ini,”

“Dari segi nyanyian, dia hanya perlu lebih pengalaman. Dengan 2-3 lagi persembahan, saya yakin dia akan jadi lebih hebat,” kata Din.

Peminat juga dilaporkan memberikan respons positif terhadap persembahan Amir bersama Search, dengan majoriti memberi maklum balas yang memberangsangkan.

Dalam perkembangan terkini, Search KidDin akan bergabung dengan kumpulan Wings dan Dragon Malaya dalam Konsert TRIAD: ONE CONQUER ALL, yang dijadualkan berlangsung pada 14 Februari 2025 di Zepp Kuala Lumpur.

Konsert ini akan menampilkan Dato’ Awie sebagai vokalis tunggal untuk ketiga-tiga kumpulan berkenaan.

Tiket konsert TRIAD telah mula dijual sejak 7 Disember 2024 melalui laman web rasmi rpm.ubertickets.asia.

Komen
Loading...