Search Guna Sentuhan Rie Tsuji Untuk Konsert Search Symphonic Live In Kuala Lumpur
- oleh Mohd Indera
- 3 bulan lalu
Kuala Lumpur: Konsert Search Symphonic Live In Kuala Lumpur yang akan berlangsung malam esok di Mega Star Arena, di sini, mendapat sentuhan penggubah muzik antarabangsa dari Jepun, Rie Tsuji.
Penyanyi Search, Datuk Amy berkata, mereka berbesar hati dapat bekerjasama dengan Rie yang pernah bekerja dengan bintang antarabangsa seperti Beyonce dan menjanjikan persembahan luar biasa.
“Kami sangat berbesar hati dapat bekerjasama dengan barisan pemuzik profesional dan nama besar dalam industri muzik. Kami yakin persembahan ini akan menjanjikan satu pengalaman luar biasa kepada peminat dan membawa mereka keluar dari zon muzik biasa.
“Lagipun kami percaya dengan susunan muzik yang dibuat oleh Rie yang sebelum ini pernah bekerjasama dengan barisan artis antarabangsa antaranya Beyonce. Pembabitannya dalam konsert ini satu penghormatan buat kami,” katanya.
Sementara itu, Rie ketika ditemui di sesi latihan bersama Search dan kumpulan orkestra yang diketuai konduktor, Datuk Mokhzani Ismail berkata, ini adalah cabaran besar buatnya memandangkan lagu-lagu Search sudah cukup popular.
“Saya akui agak gementar untuk tunjukkan hasil susunan muzik saya kepada mereka, tetapi saya bersyukur apabila mereka menerima dengan baik.
“Lagu Isabella antara yang sukar untuk disusun semula kerana ia sangat popular dan ikonik. Untuk itu, saya cuba sehabis baik menggabungkan karya sedia ada dengan idea baharu,” katanya.
Mengetengahkan elemen dramatik umpama skor filem, Rie mengambil inspirasi daripada zaman Viking untuk disuntik ke dalam susunan muziknya.