
Kuala Lumpur bergema dengan sorakan dan dentuman irama Caribbean apabila bintang dancehall antarabangsa, Sean Paul, menghangatkan pentas IdeaLive Arena menerusi konsert Sean Paul Live in Malaysia 2025 malam tadi.
Selama lebih dua jam tanpa henti, penyanyi kelahiran Jamaica itu menghadiahkan persembahan penuh tenaga yang membuktikan mengapa beliau kekal sebagai antara ikon muzik global paling berpengaruh hingga kini.
Sorakan peminat tidak pernah surut apabila Sean Paul membuka tirai dengan “So Fine” dan “Get Busy”, sebelum meneruskan momentum dengan rangkaian lagu popular seperti Cheap Thrills, Baby Boy, Bailando, Hot Gyal Today, Breathe, Mek It Clap, Give It Up To Me dan Got 2 Luv U.
Setiap lagu disambut dengan gegaran sorakan dan nyanyian bersama ribuan penonton yang membuktikan keutuhan pengaruh Sean Paul dalam kalangan peminat Malaysia.
Malam semakin rancak apabila beliau mempersembahkan lagu antarabangsa lain termasuk Boasty, Come On To Me, I Get High, Gimme Di Light, We Be Burnin’, I’m Still In Love, Rockabye serta Ginger single terbaharunya yang mendapat sambutan hebat di pelbagai platform digital.
Konsert turut menampilkan segmen interlude khas dengan persembahan Volcano dan Ba Ba Bad sebelum menuju ke kemuncak dengan deretan lagu penuh tenaga seperti Like Glue, Deport Dem, Trumpets, She Doesn’t Mind dan Temperature yang menutup persembahan dengan letusan sorakan luar biasa.
“Malaysia, mari kita berpesta! Saya suka tenaga kamu semua!” laung Sean Paul dari atas pentas, disambut dengan tepukan gemuruh dan laungan penonton yang membanjiri arena.
Dianjurkan oleh Epic Elation dengan kerjasama Sound Innovations, Spike Productions dan LFG Entertainment, konsert ini menampilkan sistem bunyi mantap, pancaran cahaya dinamik serta visual bertema tropika yang menyerlahkan suasana pesta muzik Caribbean di tengah-tengah ibu kota.
Selepas tujuh tahun tidak beraksi di Malaysia, kepulangan Sean Paul ternyata berbaloi untuk para peminat yang merindui kehangatan pentasnya.
Dengan himpunan lagu klasik dan moden, penyanyi itu bukan sekadar menghibur, tetapi turut menghidupkan semula semangat dancehall yang pernah menguasai dunia muzik.