Ikuti Kami:

SC longgarkan keperluan tawaran pengambilalihan syarikat

SC longgarkan keperluan tawaran pengambilalihan syarikat

KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Sekuriti (SC) hari ini memperkenalkan kelonggaran kepada syarikat dalam mematuhi keperluan tawaran pengambilalihan semasa tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), termasuk akan membenarkan kaedah hibrid untuk menghantar pemberitahuan dan dokumen pengambilalihan.

Dalam kenyataan hari ini, SC berkata kelonggaran itu diberikan untuk syarikat mematuhi keperluan di bawah Akta Pasaran Modal dan Perkhidmatan 2007 (CMSA) dan Peraturan Pengambilalihan, Percantuman dan Pemerolehan Wajib (Peraturan).

Badan pengawal selia itu berkata, memandangkan kesukaran untuk mencetak dokumen tawaran dan menghantar salinan bercetak kepada pemegang saham ketika tempoh PKP, pihaknya telah menggalakkan pihak industri menawarkan lebih banyak perkhidmatan dalam talian kepada pasaran, yang merangkumi langkah memudahcarakan tawaran pengambilalihan secara digital.

“Susulan kelonggaran baharu itu, SC akan membenarkan kaedah hibrid untuk menghantar pemberitahuan dan dokumen pengambilalihan melalui penerbitan elektronik di halaman khusus di laman sesawang Bursa atau SC.

“Serta pada masa yang sama menghantarnya kepada semua pemegang saham yang menerima tawaran, ringkasan pemberitahuan dalam bentuk fizikal untuk memaklumkan mengenai tawaran dan notis serta dokumen berkaitan yang disediakan di laman sesawang SC atau Bursa,” menurut SC.

Ia berkata, pemegang saham kini boleh memilih untuk menerima tawaran sama ada secara elektronik atau melalui kaedah konvensional dengan memberi respons melalui pos.

SC juga telah melanjutkan tempoh penyelesaian pembayaran tunai dari 10 hari kepada 12 hari untuk memudahcarakan penyelesaian pembayaran melalui e-bayaran atau pengeluaran cek oleh pemegang saham yang telah menerima tawaran pengambilalihan.

Ketika tempoh PKP, pembuat tawaran boleh mengemukakan pengisytiharan statutori mengikut Seksyen 222(1)(B) CMSA, menghantar pengisytiharan kepada SC bagi mengesahkan bahawa semua syarat telah dipenuhi, menurut SC.

“Kelonggaran itu terpakai hanya semasa tempoh PKP dan SC ingin mengingatkan semua pihak yang terlibat yang ditadbir mengikut CMSA dan Peraturan tersebut agar berhati-hati dalam mempertimbangkan kelonggaran berkenaan dan memastikan semua keperluan lain dipatuhi sepenuhnya,” kata SC.

Butiran mengenai kelonggaran dalam mematuhi CMSA dan Peraturan tersebut boleh dimuat turun daripada www.sc.com.my/regulation/technical-notes-practice-notes-and-circularsdan sebarang pertanyaan boleh diajukan kepada Takeover&[email protected].

-BERNAMA

Komen
Loading...