“Saya Tak Dibayar, Ini Amanah” – Hafiz Hamidun Duta PJH Jay Ibrahim Travel
- oleh MDaily Editor
- 30 Oct 2025 9:16 pm
Dari kiri: Pengarah Urusan Jay Ibrahim Travel & Tours Sdn. Bhd., Hariz Radzi; Duta PJH Jay Ibrahim Travel & Tours Sdn. Bhd, Hafiz Hamidun; dan Pengasas merangkap Presiden Jay Ibrahim Travel & Tours Sdn. Bhd., Jay Ibrahim.
Penyanyi dan pendakwah terkenal, Hafiz Hamidun menegaskan pelantikannya sebagai Duta Pengelola Jemaah Haji (PJH) bagi Jay Ibrahim Travel & Tours Sdn. Bhd. bukan kerana ganjaran atau bayaran, sebaliknya satu amanah untuk memberi kesedaran kepada umat Islam mengenai kepentingan memilih syarikat pengelola haji yang sah dan berlesen.
Jay Ibrahim Travel & Tours Sdn. Bhd. merupakan salah satu daripada 31 syarikat yang menerima lesen PJH daripada Lembaga Tabung Haji (TH) bagi musim haji 1447 Hijrah/2026 Masihi.
Majlis penyerahan lesen disempurnakan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Setia Dr. Mohd Na’im Mokhtar, dihadiri pengurusan tertinggi TH serta wakil industri pelancongan Islam.

Menurut Hafiz, beliau melihat pelantikan ini sebagai satu tanggungjawab besar bagi membantu umat Islam membuat pilihan tepat dalam urusan ibadah haji.
“Saya tidak dibayar sesen pun. Ini bukan kerja promosi semata-mata, tetapi satu amanah. Saya ambil peluang ini untuk memberi kesedaran kepada masyarakat agar memilih syarikat yang benar-benar berlesen di bawah Tabung Haji,” katanya ketika ditemui selepas Majlis Penyerahan Lesen Pengelola Jemaah Haji (PJH) 1447H/2026M di Mövenpick Hotel and Convention Centre KLIA, hari ini.
Hafiz yang pernah menunaikan haji pada tahun 2016 turut berkongsi pengalamannya mengenai cabaran ibadah tersebut, terutama dari segi fizikal dan kesihatan.
“Haji bukan sekadar ibadah rohani, tetapi juga ujian ketahanan fizikal. Sekarang kerajaan Arab Saudi semakin ketat dengan syarat kesihatan, termasuk BMI yang ideal. Jadi jemaah perlu bersedia lebih awal,” jelasnya.
Dalam masa sama, Hafiz menegaskan bahawa pakej ditawarkan Jay Ibrahim Travel tidak hanya untuk golongan berkemampuan, sebaliknya merangkumi pelbagai pilihan harga mengikut keperluan jemaah.
“Ramai ingat pakej swasta mesti mahal, padahal ada juga yang sederhana. Semua PJH berlesen ikut garis panduan sama daripada Tabung Haji. Bezanya cuma dari segi jarak, kemudahan dan tempoh perjalanan,” ujarnya.

Hafiz turut memuji kepercayaan yang diberikan oleh pelanggan tetap Jay Ibrahim Travel termasuk Datuk Seri Siti Nurhaliza, yang sering memilih syarikat itu bagi urusan umrah.
“Saya kenal Jay Ibrahim sebagai sahabat. Keyakinan itu datang bukan sebab nama besar, tetapi sebab integriti dan kejujuran syarikat ini. Tahun ini mereka terpilih sekali lagi sebagai PJH, satu bukti kepercayaan Tabung Haji,” katanya.
Sebagai duta, Hafiz merancang untuk menghasilkan 30 episod podcast bertemakan haji bagi memberi panduan dan ilmu kepada bakal jemaah, selain menggunakan platform media sosial untuk menyebarkan maklumat yang sahih.
“Saya mahu bantu masyarakat dengan cara saya, beri ilmu, beri inspirasi. Bukan kerana bayaran, tapi kerana tanggungjawab. Biarlah Allah menilai usaha ini,” katanya lagi.
Hafiz turut mengingatkan bakal jemaah agar memperbaiki niat dan mempersiapkan diri sebelum ke Tanah Suci.
“Di Tanah Haram, sifat sebenar manusia akan terserlah. Jadi kena banyak muhasabah, bertaubat dan bersedia untuk menjadi lebih baik,” katanya.
Untuk maklumat lanjut mengenai pakej haji dan umrah, orang ramai boleh menghubungi Jay Ibrahim Travel & Tours Sdn. Bhd. di talian 019-595 3997 atau layari www.jayibrahimalislam.com.




