“Saya Sayang Isteri dan Anak Saya” – Kamal Adli Tepis Spekulasi Rumah Tangga
- oleh Mohd Indera
- 4 minggu lalu

Pelakon Kamal Adli tampil mempertahankan rumah tangganya bersama Uqasha Senrose susulan pelbagai spekulasi yang timbul mengenai hubungan mereka.
Dengan tegas, Kamal menegaskan kasih sayangnya terhadap isteri dan anaknya, Hawra Uqaira, yang kini menjadi keutamaannya.
“Saya sayang isteri, anak, dan keluarga saya. Apa pun yang berlaku, sebagai suami, saya akan berada di hadapan untuk melindungi mereka. Saya takkan biarkan isteri saya menanggung apa-apa,” ujar Kamal.
Kamal, atau nama penuhnya Ahmad Kamal Ahmad Adli, 38, mengakui bahawa jadual kerja yang padat sebelum ini menyebabkan dia kurang meluangkan masa bersama keluarga.
“Semasa Uqasha mengandung, saya sering ke luar kawasan untuk penggambaran. Saya terpaksa ke Sabah untuk Takluk dan ke Kelantan bagi Munajat Kasih. Secara tak sengaja, saya meninggalkan mereka,” katanya kepada media ketika menghadiri majlis Pelancaran Unifi TV Originals Ramadan Raya 2025 di Boathouse By The Lake, Ampang, Kuala Lumpur, pada Isnin.
Namun, Kamal kini berusaha untuk menebus masa yang telah terlepas bersama keluarganya.
“Sekarang ini, saya dalam proses untuk ‘recovery’. Saya mahu memberi tumpuan penuh kepada Hawra dan Uqasha. Saya tak mahu terlepas momen penting bersama mereka,” tambahnya.
Spekulasi mengenai hubungan mereka turut sampai ke pengetahuan keluarga kedua-dua belah pihak, tetapi Kamal menegaskan bahawa semuanya hanyalah salah faham.
“Ramai yang bertanya, termasuk ibu saya dan keluarga Uqasha yang risau. Tapi sebenarnya, kami tiada masalah, cuma sangat sibuk sebelum ini,” jelas Kamal.
Dengan penjelasan ini, pelakon filem Takluk itu berharap semua pihak memahami bahawa kasih sayangnya terhadap isteri dan anaknya tidak pernah berubah.
Terdahulu, nama Kamal Adli dan Uqasha Senrose menjadi bualan apabila dikatakan menghadapi masalah rumah tangga.
Untuk rekod, pasangan ini mendirikan rumah tangga pada 5 November 2021 dan dikurniakan seorang cahaya mata, Hawra Uqaira.