“Saya Masih Sayangkan Fazura” – Fattah Amin Tetap Berharap Untuk Mempertahankan Perkahwinan
- oleh Mohd Indera
- 3 bulan lalu
Pelakon Fattah Amin mengakui bahawa dia masih menyayangi isterinya, Nur Fazura Sharifuddin, meskipun proses permohonan penceraian telah dimulakan oleh Fazura pada 13 September lalu. Dalam kenyataannya, Fattah berharap masalah rumah tangga mereka dapat diselesaikan dengan cara baik.
Fattah, yang berusia 34 tahun, memohon doa daripada semua pihak agar yang terbaik dapat berlaku untuk mereka berdua.
“Saya masih berpegang dengan kenyataan sebelum ini (menyelamatkan rumah tangga). Saya masih sayangkan Fazura,” katanya.
Namun, Fattah juga menjelaskan bahawa dia tidak melafazkan penceraian pada pagi tersebut. Dia enggan menjawab soalan-soalan spekulasi berkaitan isu curang yang timbul.
Peguam syarie yang mewakili Fattah, Zulkifli Che Yong, menegaskan bahawa kliennya belum bersetuju untuk bercerai secara baik atau sebaliknya.
Zulkifli juga menjelaskan bahawa kedua-dua pihak sedang dalam proses menyelesaikan terma yang berkaitan dengan perkahwinan mereka, termasuk sekiranya berlaku penceraian.
“Saya ingin nyatakan dalam mahkamah sebentar tadi, pihak defenden telah menyatakan setakat ini belum setuju atau sedia untuk bercerai dengan baik kerana pihak dalam kes ini sedang cuma memuktamadkan terma secara baik isu yang berkait semasa perkahwinan,” katanya.
Sementara itu, Mahkamah Rendah Syariah Petaling telah menangguhkan kes permohonan cerai Fazura kepada 7 Oktober ini.
Peguam syarie yang mewakili Fazura, Fakhrul Azman Abu Hassan, menjelaskan bahawa penangguhan ini bertujuan untuk memberi ruang perbincangan yang dicadangkan oleh pihak peguam Fattah. Semoga kedua-dua pihak dapat mencari penyelesaian yang terbaik.