Ikuti Kami:

‘Saya dan Amira Hanya Kawan,’ Fattah Amin Nafi Spekulasi Pertunangan

‘Saya dan Amira Hanya Kawan,’ Fattah Amin Nafi Spekulasi Pertunangan

Pelakon dan penyanyi, Fattah Amin, menegaskan bahawa hubungannya dengan penyanyi dan pelakon Amira Othman tidak lebih daripada sekadar kawan.

Penjelasan ini diberikan selepas tular spekulasi bahawa mereka telah bertunang dalam satu majlis tertutup.

Menurut Fattah, dia terkejut mendengar khabar angin tersebut dan menyatakan bahawa dakwaan itu sama sekali tidak benar.

“Memang saya dengar dan terkejut juga. Kenapa tiba-tiba ada rumors tu? Memang saya nafikan, benda tu tak betul langsung. Saya sendiri tak tahu macam mana cerita tu boleh muncul,” katanya ketika ditemui media selepas majlis pelancaran koleksi Amber, Raya Romantics di Kuala Lumpur hari ini.

Fattah atau Abdul Fattah Mohd Amin menjelaskan bahawa hubungannya dengan Amira adalah bersifat profesional, terutamanya kerana mereka sering bekerjasama dalam beberapa projek kerja.

“Saya dengan Amira kawan, tak lebih daripada itu. Kami masih bekerja bersama dalam beberapa projek seperti Jakel dan produk kecantikan Rissa Skin. Selain urusan kerja, hubungan kami hanyalah sebagai kawan,” katanya lagi.

Spekulasi mengenai pertunangan mereka mula timbul apabila beberapa netizen mendakwa pasangan itu telah mengadakan majlis tertutup baru-baru ini.

Namun, Fattah menyangkal dakwaan tersebut sambil menambah bahawa jika perkara itu benar, ia pasti tidak dapat disembunyikan.

“Kami berdua terkejut dengan berita ini. Kalau betul, takkan boleh nak sorok kot, tapi benda tu memang tak betul. Saya dan pihak pengurusan Amira pun ada berkomunikasi mengenai perkara ini,” jelas Fattah.

Ketika ditanya mengenai motif pihak yang menyebarkan spekulasi ini, pelantun lagu Lelaki Terakhir itu berkata dia tidak tahu sama ada ada niat buruk di sebalik khabar angin tersebut.

“Saya tak pasti apa motif mereka. Kalau ada yang berniat buruk, saya serahkan kepada Allah untuk melindungi saya daripada perkara yang tak baik,” katanya.

Fattah berharap agar peminat dan orang ramai tidak mudah mempercayai khabar angin tanpa asas dan terus memberikan sokongan kepada kerjaya seninya.

Fattah dan Amira mula dikaitkan apabila mereka kerap tampil bersama sebagai duta serta terlibat dalam promosi pelbagai produk.

Komen
Loading...