Ikuti Kami:

“Saya Betul-Betul Rasa Seperti Mayat” – Marc Syahmie Atasi Fobia Ruang Sempit

“Saya Betul-Betul Rasa Seperti Mayat” – Marc Syahmie Atasi Fobia Ruang Sempit

Pelakon meningkat naik, Marc Syahmie mengakui berdepan detik paling mendebarkan sepanjang kerjaya seninya apabila perlu menjalani penggambaran di dalam peti mayat sebenar bagi drama rantaian, Bila Cinta Menjadi Dosa.

Syahmie, 26, yang memegang watak sebagai Amar, mendedahkan bahawa dia pada mulanya terkejut apabila dimaklumkan pihak produksi bahawa penggambaran itu akan menggunakan peti mayat yang masih aktif digunakan di sebuah hospital, dan bukannya sekadar prop penggambaran.

“Bila mula-mula dapat tahu ada babak dalam peti mayat, saya memang berdebar. Tambah pula saya diberitahu sehari sebelum penggambaran, peti tersebut memang ada digunakan untuk jenazah sebenar.

“Cabaran terbesar saya bukan sekadar takutkan peti mayat, tetapi sejak kecil saya menghidap fobia terhadap tempat sempit dan gelap (klaustrofobia). Keadaan itu selalunya akan menyebabkan saya sesak nafas secara tiba-tiba,” katanya.

Menceritakan pengalaman di set, Syahmie berkata situasi menjadi lebih mencabar apabila dia perlu dimasukkan ke dalam beg plastik mayat dan dizip sepenuhnya sebelum diletakkan di dalam peti berkenaan dalam keadaan gelap gelita.

“Bayangkan beberapa minit saya duduk seorang diri dalam keadaan sejuk, sempit dan gelap. Masa itu saya betul-betul rasa seperti mayat. Saya perlu kawal pernafasan dan tenangkan diri demi tanggungjawab sebagai pelakon,” ujarnya yang terpaksa keluar masuk peti tersebut berulang kali bagi mendapatkan syot terbaik.

Walau bagaimanapun, pelakon itu menyifatkan pengalaman ngeri tersebut sebagai satu proses matang yang memberi kesan mendalam terhadap kerohaniannya.

“Sejujurnya saya berasa insaf. Dalam peti itu saya banyak berselawat dan berzikir. Terdetik dalam hati, jika suatu hari nanti saya sudah tiada, mungkin beginilah keadaannya. Ia membuatkan saya lebih menghargai kehidupan,” katanya lagi.

Menyentuh mengenai kepercayaan mistik atau ‘badi’, Syahmie bersyukur kerana tiada kejadian pelik berlaku sepanjang penggambaran, namun tetap mengambil langkah berjaga-jaga dengan membersihkan diri mengikut nasihat produksi.

Drama Bila Cinta Menjadi Dosa yang turut menampilkan barisan pelakon hebat seperti Che Puan Sarimah Ibrahim, Zamarul Hisham dan Siti Elizad, bakal melabuhkan tirainya di slot Lestary TV3 malam ini.