“Saya Akan Usaha Selamatkan Rumah Tangga, Doakan Yang Terbaik” – Farid Kamil
- oleh Mohd Indera
- 3 minggu lalu
Pelakon dan pengarah terkenal, Farid Kamil, baru-baru ini meminta doa daripada orang ramai agar urusannya dipermudahkan dalam usaha untuk memperbaiki hubungan dengan isterinya, aktres Diana Danielle.
Farid, atau nama sebenarnya Farid Kamil Zahari yang berusia 42 tahun, berkongsi perasaannya menerusi sebuah video di Instagram, menyatakan bahawa dia sedar akan berita Diana yang sekali lagi memfailkan perceraian selepas mereka kembali rujuk pada tahun lalu.
Dalam video tersebut, Farid turut menyatakan bahawa rasa sayangnya terhadap Diana dan anak-anak mereka tetap utuh.
“Alhamdulillah, saya mendengar perkhabaran tersebut dan seperti semua orang maklum, saya sayangkan isteri saya dan anak-anak saya,” ujarnya dengan penuh emosi.
Farid menambah bahawa dia bertekad untuk melakukan segala usaha bagi menyelamatkan rumah tangganya. Dia turut memohon sokongan doa daripada orang ramai agar hubungannya dengan Diana dapat dipulihkan.
“Saya akan berusaha apa sahaja untuk menjernihkan keadaan kembali. Insya-Allah doakan yang baik-baik,” katanya lagi.
Walau bagaimanapun, Farid tidak menjelaskan secara lanjut tentang punca keputusan Diana untuk memfailkan perceraian terhadapnya.
Pada hari Isnin, Diana memuat naik satu kenyataan di Instagram, memaklumkan bahawa dia tidak lagi mahu hidup bersama Farid dan akan mengambil langkah memfailkan perceraian dalam masa terdekat.
Untuk rekod, pasangan ini sebelum ini pernah bercerai talak satu pada 10 Ogos 2023 di Mahkamah Rendah Syariah Petaling, Subang Bestari, Selangor.
Namun, mereka kembali bersama pada 31 Ogos 2023 ketika masih dalam tempoh idah, membangkitkan harapan untuk menyelamatkan hubungan mereka.