Fattah Amin, 33, menolak dakwaan bahawa dia berlaku curang seperti yang didedahkan oleh bekas isterinya, Nur Fazura, 41, selepas mereka disahkan bercerai talak satu di Mahkamah Rendah Syariah Petaling, Subang Bestari, hari ini.
Fattah menyatakan rasa terkejut dengan tuduhan yang dilemparkan terhadapnya, dan menyifatkan dakwaan tersebut sebagai cubaan untuk menjatuhkan maruahnya.
“Saya menafikan tuduhan itu. Malah, peguam dia sebelum ini pun sudah jelaskan tiada kes curang. Kenapa tiba-tiba perkara ini dibangkitkan,” katanya.
“Saya pun ada bukti dan ia satu tohmahan untuk memalukan dan mencemarkan nama baik saya,” tambahnya lagi.
Memetik Harian Metro menurut Fattah, beliau sangat kecewa dengan kenyataan yang dikeluarkan oleh bekas isterinya, meskipun mereka telah bersetuju untuk tidak memburukkan satu sama lain selepas perceraian.
“Kami sudah ada perjanjian bersama sebelum saya lafazkan talak. Perjanjian kami adalah masing-masing perlu menjaga aib dan tidak mencemarkan nama baik.
“Itu perjanjian yang sudah ditandatangani bersama sebelum lafaz. Saya agak terkejut kenapa tiba-tiba ada kenyataan sebegitu daripada dia. Saya sangat sedih,” ujar Fattah.
Apabila ditanya tentang punca perceraian mereka, Fattah menjelaskan bahawa ia berpunca daripada tiada persefahaman di antara mereka.
“Tiada persefahaman, itu saja. Kalau fasal curang, peguam dia sudah nafikan sebelum ini,” katanya.
Sebelum ini, Fazura mendedahkan bahawa tiga punca utama perceraian mereka ialah kecurangan Fattah, pengabaian nafkah, dan tiada persefahaman. Fattah dan Fazura berkahwin pada 27 November 2017 dan dikurniakan seorang anak perempuan, Nur Fatima Aisya, 4.