Ikuti Kami:

SAY, Yayasan Raja Muda Selangor Santuni Penghuni ‘Rumah Kita’

SAY, Yayasan Raja Muda Selangor Santuni Penghuni ‘Rumah Kita’

Duli Yang Teramat Mulia (DYTM) Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah Ibni Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj, berkenan mencemar duli menyantuni golongan wanita dan kanak-kanak di Pertubuhan Kebajikan & Pendidikan Rumah Kita, Pandan Jaya, semalam.

Keberangkatan baginda sempena Program Ziarah Ramadan 2026 itu turut diiringi Yang Mulia Datin Paduka Seri Afzaa Fadini.

Program tahunan anjuran Selangor Youth Community (SAY) dengan kerjasama Yayasan Raja Muda Selangor (YRMS) itu bertujuan memperkukuh semangat keprihatinan sosial serta menggalakkan pembabitan sektor korporat dalam membantu komuniti memerlukan melalui inisiatif Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR).

Jurucakap Selangor Youth Community (SAY) berkata, penganjuran program tahun ini bukan sekadar memberi bantuan material, malah bertujuan memberi sokongan moral yang berpanjangan kepada penghuni wanita di pusat perlindungan tersebut.

“Kami di SAY amat komited untuk memastikan golongan wanita dan kanak-kanak di ‘Rumah Kita’ tidak merasa terpinggir, terutamanya dalam bulan Ramadan yang mulia ini. Keberangkatan DYTM Raja Muda Selangor dan Yang Mulia Datin Paduka Seri Afzaa Fadini adalah satu suntikan semangat buat para penghuni dan sukarelawan kami.

“Matlamat utama kami adalah untuk mewujudkan ekosistem di mana sektor korporat dapat bekerjasama dengan komuniti belia bagi membawa perubahan fizikal yang nyata kepada pusat-pusat kebajikan seperti ini,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Dalam lawatan tersebut, Tengku Amir Shah meluangkan masa berinteraksi mesra dengan penghuni, sukarelawan serta rakan korporat, selain meninjau kemudahan kediaman dan menyampaikan sumbangan kepada penghuni serta bayi di bawah jagaan organisasi berkenaan.

Program itu juga menjadi platform menghargai sumbangan pelbagai syarikat korporat yang menyalurkan dana bagi menaik taraf kemudahan fizikal serta menyediakan keperluan asas di Rumah Kita menerusi aktiviti gotong-royong yang telah bermula sejak Februari lalu.

Rumah Kita yang ditubuhkan pada 2015 menyediakan perlindungan sementara, sokongan psikososial serta penjagaan materniti kepada wanita yang memerlukan perlindungan, termasuk mangsa keganasan seksual dan wanita yang menghadapi kehamilan tidak dirancang.

Antara rakan korporat utama yang menyokong misi kali ini termasuk Nestlé Malaysia dengan sumbangan CSR bernilai RM70,000, Bridge Data Centres Malaysia (RM35,000), Worldwide Holdings Berhad (RM33,000), serta pembinaan mini surau oleh FGV IFFCO Malaysia.

Turut menyumbang ialah KHIND Malaysia, Eskayvie Sdn Bhd, BookXcess, FM Group, NGO Kita Haid, FRWRD serta sokongan logistik daripada Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ).

Loading...