
Selangor Youth Community (SAY) di bawah naungan Duli Yang Teramat Mulia (DYTM) Tengku Amir Shah Ibni Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj, Raja Muda Selangor, terus memperkukuh peranannya dalam pembangunan anak muda apabila menganjurkan Team Award Day 2025 di Sunway Resort Hotel, semalam.
Majlis berprestij itu disempurnakan dengan keberangkatan DYTM Raja Muda Selangor serta turut dihadiri Y.A.M. Tengku Zatashah dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Anggerik, YB Najwan Halimi, bersama dif-dif kehormat, wakil agensi kerajaan, syarikat korporat dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO).
Acara berkenaan diadakan bagi meraikan pencapaian belia cemerlang serta menghargai rakan strategik yang menyokong perjalanan SAY dalam memperkasa generasi muda Malaysia.
Antara sorotan utama ialah pengiktirafan kepada Nurul Naqibah, alumni Team Programme Malaysia Cohort 16, yang diumumkan sebagai 2024 King’s Trust International Regional Sustainability Award Winner for Asia.
Beliau dipilih atas dedikasi dalam kerja sukarelawan, pemuliharaan alam sekitar dan khidmat kepada komuniti orang asli.
“Program ini mengajar saya bahawa kesejahteraan bukan hanya slogan, tetapi tindakan. Jika kita tidak bertindak hari ini untuk menjaga alam sekitar, siapa lagi yang akan melakukannya? Saya berharap pencapaian ini memberi inspirasi kepada belia lain untuk berani menjadi perubahan,” katanya.
SAY turut menyampaikan beberapa anugerah penghargaan lain, antaranya kepada Sunway Group sebagai Most Supportive Corporate Partner, Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) (Most Supportive Government Agency), Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) (Most Supportive Municipal) serta Perseverance Award kepada Syafie Husnul Yakin.
Ketua Pegawai Eksekutif SAY, Aiman Nazri, berkata kejayaan Naqibah mencerminkan nilai sebenar Team Programme yang memberi peluang kedua kepada belia untuk menemui potensi diri.
“Hari ini kita melihat bagaimana belia mampu mengubah diri dan komuniti jika diberi sokongan. Kerjasama dengan The King’s Trust International sejak lima tahun lalu telah memberi manfaat kepada hampir 500 belia, dan ramai daripada mereka kini menjadi pemimpin masyarakat,” katanya.
Team Programme, yang dilaksanakan bersama The King’s Trust International (KTI), merupakan program intensif sembilan minggu untuk belia berusia 15 hingga 30 tahun.
Ia menekankan pembangunan keyakinan diri, kemahiran komunikasi dan kerja komuniti, sekali gus membuka laluan ke arah pendidikan, kerjaya atau keusahawanan.
Sejak ditubuhkan pada 2017, SAY telah melaksanakan lebih 200 inisiatif melibatkan 369,000 belia dengan pulangan sosial (Social Return on Investment) sebanyak 1:1.74, sekali gus mengukuhkan kedudukannya sebagai peneraju pembangunan belia negara.