Ikuti Kami:

SAY Aspire 2025: Lima Usahawan Raih Geran & Peluang Pasaran Global

SAY Aspire 2025: Lima Usahawan Raih Geran & Peluang Pasaran Global

Lima usahawan muda berjaya meraih pengiktirafan dalam SAY ASPIRE Edisi Keenam yang memberi mereka peluang mendapatkan geran serta akses pasaran antarabangsa.

Acara kemuncak itu disempurnakan oleh Duli Yang Teramat Mulia (D.Y.T.M) Tengku Amir Shah Ibni Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj, Raja Muda Selangor, selaku penaung program.

Program anjuran Selangor Youth Community (SAY) itu menjadi platform penting dalam melahirkan pemimpin dan usahawan belia berdaya saing melalui bengkel intensif, sesi bimbingan bersama pakar industri serta pertandingan akhir pembentangan perniagaan.

Edisi kali ini turut mendapat kerjasama EXCO Belia, Sukan dan Keusahawanan Selangor, YB Mohd Najwan Halimi serta sokongan Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE), di samping Google, App Engage dan Dr Anne Skincare Sdn Bhd.

Ketua Pegawai Eksekutif SAY, Aiman Syafiq Nazri, berkata lima usahawan terbaik bukan sahaja menerima geran berjumlah RM10,000, RM7,000 dan RM5,000, malah berpeluang mengikuti lawatan pasaran antarabangsa yang akan dikendalikan secara rasmi bersama MATRADE.

Menurutnya, edisi kali ini menawarkan kelebihan lebih besar apabila buat pertama kali pemenang dapat menggunakan fasiliti MATRADE, mendapatkan bantuan eksport serta bimbingan intensif selama enam bulan melalui sesi mentor bersama jurulatih berpengalaman.

“Kejayaan hari ini bukanlah pengakhiran, sebaliknya permulaan baharu untuk mereka berkembang. Dengan sokongan rakan strategik, kita yakin usahawan belia ini mampu melangkah ke pasaran global,”

“Program ini tidak tamat pada pentas akhir kerana mereka akan terus mendapat bimbingan dan pemantauan supaya benar-benar bersedia untuk pasaran luar,” katanya.

Acara akhir itu menyaksikan DRIMS Trading Sdn Bhd dinobatkan sebagai juara dengan menampilkan inovasi peralatan perubatan berasaskan tumbuhan khusus untuk prosedur berkhatan lelaki.

Produk tersebut hanya memerlukan sekitar tiga minit untuk disempurnakan berbanding kaedah tradisional yang mengambil masa sehingga 45 minit.

Pengasasnya, Mohd Hanif Hanizam, berkata kemenangan itu memberi semangat baharu untuk syarikatnya yang ditubuhkan sejak 2006 melangkah lebih jauh.

“Kami tidak menjangka kemenangan kerana saingan sangat sengit, namun kemenangan ini membuktikan bahawa inovasi dalam bidang perubatan mempunyai nilai besar untuk pasaran global,” katanya.

Beliau berkata Drims Trading menyasarkan pasaran ASEAN terlebih dahulu termasuk Filipina, Indonesia, Thailand dan Brunei kerana sudah mempunyai wakil pengedar di negara-negara berkenaan.

“Selepas Asia Tenggara, kami mahu menembusi pasaran Timur Tengah termasuk Qatar dan Rusia. Permintaan terhadap produk kami meningkat terutama selepas pandemik, dan inilah masa terbaik untuk membawa inovasi ini ke peringkat antarabangsa,” jelasnya.

Mohd Hanif turut menegaskan bahawa kejayaan ini membuktikan kemampuan syarikat tempatan untuk bersaing dalam sektor teknologi perubatan.

“Produk utama kami ialah alatan berkhatan berasaskan tumbuhan yang bukan sahaja lebih pantas, tetapi juga lebih selamat dan diterima baik oleh doktor serta pengamal perubatan. Dari sini, kami akan kembangkan lagi dengan pelbagai kit perubatan lain untuk melengkapkan pasaran berkhatan global,” katanya.

Selain Drims Trading, kejayaan turut diraih beberapa syarikat lain termasuk Gritz Sdn Bhd, MTO Resources, Boohaci Infinity Sdn Bhd dan Lotus Cof y House Sdn Bhd yang masing-masing menonjolkan potensi dalam bidang kesihatan, kesejahteraan dan makanan.

Sejak ditubuhkan pada 2017, SAY yang bernaung di bawah Raja Muda Selangor telah memberi impak kepada lebih 369,000 belia melalui lebih 200 inisiatif merangkumi empat bidang utama iaitu Keusahawanan, Sukan dan Kesejahteraan, Seni dan Kreativiti serta Khidmat Komuniti.

Komen
Loading...