Ikuti Kami:

Sasi The Don Lancar Single ‘Fyre’ dari Album Terbaharu

Sasi The Don Lancar Single ‘Fyre’ dari Album Terbaharu

Ikon reggae tempatan, Sasi The Don, memperkenalkan single berjudul Fyre daripada album terbaharu, My Perfect Yard, sempena sambutan 25 tahun kerjaya muziknya.

Menurut Sasi The Don, yang digelar “Duta Reggae Asia”, Fyre menonjolkan tema keberanian, perpaduan, dan kekuatan dalaman.

“Lagu ini membawa mesej bahawa setiap individu mempunyai kekuatan dalaman untuk menghadapi cabaran hidup, serta pentingnya menyokong dan bersatu dengan komuniti kita,”

“Ia merupakan permulaan yang sesuai bagi album My Perfect Yard, yang meraikan perjalanan saya dalam industri muzik selama 25 tahun,” katanya di majlis Album Listening Party di Hard Rock Cafe Kuala Lumpur, hari ini.

Beliau menambah, kolaborasi bersama Dr. Jerusha Naidoo memberikan dimensi baharu kepada muziknya, manakala video muzik Fyre menggunakan teknologi AI untuk pengalaman visual yang lebih menarik dan interaktif.

“Saya ingin memastikan single ini bukan sahaja didengar, tetapi juga dirasai oleh peminat. Video muzik lagu Fyre turut menggunakan teknologi kecerdasan buatan melalui kerjasama strategik antara OneDrop Studios dan ArtHart Studios, membuktikan potensi teknologi canggih dalam memperkaya pengalaman seni visual,” ujarnya.

Dr. Jerusha Naidoo, seorang doktor perubatan dan penyanyi berbakat Afrika Selatan, yang kini menetap di Malaysia.

Beliau mengucapkan terima kasih kepada MyCreative Ventures dan redONE Mobile atas peranan mereka dalam merealisasikan visi kreatifnya serta menyemarakkan semangat muzik tempatan.

“Sokongan mereka membolehkan saya mengekspresikan karya dengan cara yang lebih inovatif dan berani, sambil terus memartabatkan muzik reggae tempatan di peringkat antarabangsa,” tambahnya.

Sementara itu, Ameen Amaendran, Ketua Pegawai Eksekutif redONE Mobile, menyifatkan kolaborasi dengan Sasi The Don dalam video muzik Fyre sebagai usaha meraikan muzik, budaya, dan semangat perpaduan.

“redONE Mobile sentiasa komited memastikan masyarakat terus berhubung dengan cara yang lebih bermakna. Kolaborasi ini adalah langkah penting dalam meraikan muzik, budaya serta semangat perpaduan,” katanya.

Album My Perfect Yard bakal diedarkan oleh Sony Music Malaysia, merangkumi pasaran tempatan dan antarabangsa, dan dijadual memasuki pasaran pada pertengahan November 2025.

Album ini turut menampilkan duet istimewa bersama Dato’ Awie dalam lagu Oh My Kawan, yang dianggap sangat bermakna kerana kedua-dua artis telah mengenali antara satu sama lain selama 21 tahun sebelum akhirnya menghasilkan karya bersama.

Maklumat lanjut dan perkembangan terkini boleh diperoleh melalui laman web rasmi www.sasithedon.com.

Komen
Loading...