Sarah Suhairi Tetap Aktif Berkarya dengan Sokongan Suami dan Keluarga
- oleh Mohd Indera
- 3 bulan lalu

Penyanyi dan pelakon, Sarah Suhairi, menegaskan bahawa status perkahwinan tidak menjadi halangan untuknya terus aktif dalam dunia seni.
Meskipun kini bergelar isteri, Sarah tetap komited meneruskan kerjaya nyanyiannya dengan sokongan penuh daripada suami tercinta.
“Suami saya sangat memahami pekerjaan saya sebagai artis. Sebelum terlibat dalam sebarang projek, saya selalu meminta izin daripadanya. Dia tidak pernah menghalang, malah sentiasa memberikan restu dan sokongan,” ujar Sarah.
Menurut Sarah atau nama penuh Sarah binti Suhairi, 24, perjalanan kariernya selepas berkahwin berjalan lancar dengan sokongan padu daripada label muzik dan peminat setianya.
“Warner Music Malaysia, RUSA dan MWM sangat membantu. Apa sahaja idea yang saya usulkan, mereka sentiasa menyokong untuk merealisasikannya. Jadi, saya tidak rasa perkahwinan menghalang perkembangan karier saya,” jelasnya.
Sarah, yang popular dengan lagu SAH, kini sedang merancang untuk melancarkan sebuah EP yang menggabungkan elemen segar dalam muzik, sambil mengekalkan identitinya sebagai seorang penyanyi.
“Saya mahu menghasilkan sesuatu yang disukai peminat tetapi tetap menonjolkan identiti muzik saya,” tambahnya.
Sarah ditemui media selepas majlis pelancaran single terbaharunya bersama Sufian Suhaimi, berjudul “Dengan Lafaznya”, di Puchong pada Khamis.
Menyentuh tentang kehidupannya selepas menjadi isteri dan ibu ‘segera’ kepada tiga anak suaminya, Sarah bersyukur dengan hubungan baik yang terjalin bersama mereka.
“Pada mulanya, saya bimbang tentang cara menyesuaikan diri dan mengambil hati mereka. Namun, Alhamdulillah, anak-anak sangat baik dan memahami pekerjaan saya sebagai penyanyi,”
“Mereka seperti kawan-kawan kepada saya. Kalau saya keluar bersama rakan-rakan, mereka turut serta. Jadi, saya tidak merasa terbeban,” katanya lagi.
Sarah Suhairi sah menjadi isteri kepada pensyarah, Aswad Mohd. Anuar, pada Julai tahun lalu, Aswad mempunyai 3 puteri hasil perkahwinan terdahulu.
Berbicara mengenai single kolaborasi bersama Sufian Suhaimi, Sarah menjelaskan bahawa walaupun lagu ini sering dikaitkan dengan majlis perkahwinan, ia tidak semestinya dibuat untuk tujuan itu sahaja.
“Jujurnya, lagu ini bukan dicipta khusus untuk tema perkahwinan, tapi kalau ada yang ingin jadikan lagu ini sebagai pilihan di majlis mereka, kami sangat menghargainya. Saya harap lagu ini diterima dengan baik oleh semua,”
“InsyaAllah, ini akan menjadi salah satu projek terbaik kami. Kalau ada yang mahu jemput kami untuk persembahan di majlis perkahwinan, kami bersedia!” katanya berseloroh.
Lagu “Dengan Lafaznya” kini boleh didengarkan di semua platform digital, dan video muzik rasminya telah dilancarkan pada 13 Januari 2025 di YouTube Rusa Music.