Sara Ali Berkongsi Cabaran Membawa Watak Utama dalam Filem Bisikan Dosa
- oleh Mohd Indera
- 1 hari lalu
Pelakon Sara Ali mengakui filem Bisikan Dosa merupakan salah satu pengalaman paling mencabar sepanjang kariernya.
Dalam satu sesi temu bual baru-baru ini, Sara berkongsi bagaimana watak Sarimah, seorang wanita yang berhadapan dengan gangguan mistik dan meroyan menuntut penghayatan dan persediaan mendalam daripadanya.
“Saya tertarik menerima tawaran ini kerana watak Sarimah sangat berat, begitu juga dengan jalan ceritanya. Saya memilih untuk membawa karakter ini kerana dorongan rakan-rakan yang percaya saya mampu menghidupkannya,” ujar Sara.
Menurut Sara atau nama penuhnya Siti Sarah Hairi Ali, perjalanan membawakan watak ini bukanlah mudah, terutama kerana ia melibatkan elemen emosi dan tekanan psikologi.
“Sejak hari pertama penggambaran, saya risau bagaimana untuk membezakan Sarimah yang normal (meroyan) dengan Sarimah yang diganggu (mistik). Saya takut salah membawa watak ini sehingga ia tidak diterima penonton,” katanya kepada media di majlis tayangan perdana filem Bisikan Dosa yang di TGV KLCC, Kuala Lumpur pada Isnin.
Untuk memastikan lakonannya realistik, Sara menghabiskan masa meneliti pengalaman individu yang pernah mengalami gangguan serupa selain berbincang dengan rakan-rakan dan mendengar pendapat mereka yang memahami situasi tersebut.
“Saya cuba memahami keadaan mereka yang pernah melalui perkara seperti ini, walaupun saya sendiri belum pernah mengalaminya. Ini menjadikan tugas saya lebih mencabar,” tambahnya.
Selain itu, Sara turut menghargai kerjasama pasukan produksi yang memudahkannya menjalani penggambaran termasuk jurulatih aksi yang membantu menjayakan babak-babak penting.
Filem Bisikan Dosa mengisahkan tentang Sarimah (lakonan Sara Ali), seorang wanita yang memulakan kehidupan baharu di Kuala Lumpur selepas kehilangan anak dan dikhianati suami.
Kehidupannya berubah apabila dia menjadi pembantu rumah kepada keluarga Ayden (lakonan Farid Kamil), di mana dia mula diganggu oleh roh Zara (lakonan Uqasha Senrose), arwah isteri Ayden.
Filem ini akan mula menghantui di pawagam seluruh Malaysia bermula 9 Januari 2025.