SARA 100 Cerminan Kasih Sayang Negara Kepada Rakyat – Yayasan Global Mesra
- oleh Mohd Indera
- 9 Sep 2025 12:16 am

Program Sumbangan Asas Rahmah (SARA) 100 dianggap sebagai simbol kasih sayang negara kepada rakyat, dengan semua warganegara Malaysia berusia 18 tahun ke atas layak menerima tanpa mengira latar belakang kewangan, sempena sambutan Hari Kemerdekaan ke-68.
Pengerusi Yayasan Global Mesra, Datuk Seri Salim Abdul Rahman, berkata bantuan itu adalah usaha murni kerajaan, khususnya Perdana Menteri, bagi memastikan rakyat dari pelbagai lapisan mendapat manfaat secara langsung.
“SARA 100 bukan rasuah, tetapi hadiah Merdeka. Ia lambang keikhlasan Perdana Menteri menghargai rakyatnya. Negara ini mampu membayar hutang, maka sudah tentu mampu memberi kembali kepada rakyat. Inilah cara kerajaan menunjukkan kasih sayang,” katanya ketika ditemui baru-baru ini.
Beliau menegaskan, pemberian tersebut memberi impak besar terutama kepada golongan berpendapatan rendah yang berdepan tekanan kos sara hidup.
“Walaupun RM100 nampak kecil, tetapi ia boleh menampung belanja harian, membeli barang dapur, minyak masak, beras atau keperluan asas lain. Bayangkan jika lebih 20 juta rakyat dewasa menikmatinya serentak, ia akan menyuntik aliran tunai yang baik dalam ekonomi tempatan,” ujarnya.
Datuk Seri Salim turut menyokong kepimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, yang menurutnya konsisten menjaga kebajikan rakyat tanpa mengira negeri pembangkang atau kerajaan.
“Perdana Menteri tidak pernah anak-tirikan mana-mana negeri. Sama ada Kelantan, Terengganu, Kedah atau Perlis semua tetap dibantu kerana yang penting ialah rakyat. Inilah sikap seorang pemimpin berjiwa rakyat,” jelasnya.
Beliau juga menyeru semua pihak termasuk pembangkang supaya menghentikan perbalahan politik dan bersama membangunkan negara.
“Rakyat mahu melihat pemimpin bekerja, bukan berbalah. Merdeka adalah simbol perpaduan, bukannya perpecahan. Sara 100 ini contoh bagaimana kerajaan menunaikan tanggungjawab tanpa membezakan siapa penyokong dan siapa lawan,” katanya.
Datuk Seri Salim menambah, beliau kagum dengan kejayaan kerajaan menstabilkan ekonomi dalam masa singkat, termasuk mengukuhkan ringgit berbanding dolar Amerika.
“Dunia luar memandang Malaysia dengan penuh hormat kerana kepimpinan yang jelas, telus dan berkesan. Apa yang penting sekarang ialah rakyat memberi sokongan penuh agar momentum ini dapat diteruskan,” ujarnya.
Beliau menegaskan bahawa SARA 100 adalah simbol pengiktirafan kepada rakyat yang setia bersama negara sejak merdeka.
“SARA 100 adalah hadiah kecil tetapi penuh makna. Ia bukan hanya tentang wang, tetapi tanda kasih sayang dan penghargaan negara kepada rakyat. Semoga kita terus bersatu, menghargai kemerdekaan dan membina masa depan lebih makmur untuk generasi akan datang,” katanya.