Ikuti Kami:

Sanggup Simpan Lagu Setahun Buat Eda Ezrin, Eddie Hamid Yakin ‘Adek Saye Abe Sore’ Bakal Meledak

Sanggup Simpan Lagu Setahun Buat Eda Ezrin, Eddie Hamid Yakin ‘Adek Saye Abe Sore’ Bakal Meledak

Komposer tersohor, Eddie Hamid mendedahkan beliau sanggup “memperam” karya terbaharunya selama lebih setahun demi memastikan ia dinyanyikan oleh penyanyi asalnya, Eda Ezrin.

​Lagu berjudul “Adek Saye Abe Sore” itu merupakan kesinambungan kepada lagu tular “Cinta Setandan Pisang” (Bae Soba Bae) yang sehingga kini telah mengumpul lebih 33 juta tontonan di YouTube.

​Menurut Eddie, meskipun menerima banyak permintaan daripada penyanyi lain yang berminat untuk merakamkan naskhah tersebut, beliau tetap bertegas menyimpannya untuk Eda Ezrin kerana menganggap vokal dan jiwa penyanyi itu paling serasi dengan genre lagu berkenaan.

​”Sebenarnya, saya sudah siapkan lagu ini lebih setahun lalu, tetapi terpaksa disimpan seketika kerana kejadian (episod hitam) yang berlaku terhadap Eda Ezrin.

​”Ramai penyanyi lain yang meminta lagu ini, namun saya tetap menyimpannya. Bagi saya, genre dan vokal lagu ini memang dicipta khas untuk Eda Ezrin memandangkan ia adalah kesinambungan daripada karyanya yang terdahulu,” katanya.

​Menerusi kolaborasi bersama komposer berbakat, Mekiya, Eddie memberikan nafas baharu kepada lagu ini dengan susunan muzik yang lebih moden dan segar, tanpa meminggirkan elemen asal dikir barat yang menjadi identiti pasangan duet tersebut.

​Eddie menyasarkan lagu ini bakal mencetuskan fenomena serupa, malah mungkin lebih besar berbanding impak yang diberikan oleh Bae Soba Bae pada Disember 2023.

​Bagi Eda Ezrin atau Wan Norsahidah Azlin Wan Ismail, 31, kepercayaan yang diberikan oleh Eddie Hamid dianggap sebagai satu rahmat besar selepas melalui fasa mencabar dalam kehidupan peribadinya sebelum ini.

​”Alhamdulillah, saya sangat bersyukur kerana Abang Eddie masih memberi kepercayaan kepada saya. Untuk rakaman kali ini, saya tidak menghadapi masalah besar kerana sudah biasa bekerjasama dengan Den Manjo. Kami masing-masing sudah tahu tanggungjawab dan ‘vibe’ yang diperlukan,” jelasnya.

​Walau bagaimanapun, Eda tidak menafikan wujud perasaan debar menantikan reaksi pendengar yang pastinya akan membuat perbandingan dengan kejayaan luar biasa lagu sebelum ini.

​Sementara itu, Den Manjo, 30, menyifatkan peluang kembali berduet dengan Eda Ezrin sebagai satu hadiah yang tidak ternilai buat karier seninya.

​”Walaupun terpaksa menunggu lama untuk naskhah ini direalisasikan, saya tetap bersyukur. Saya harap lagu ini mendapat sambutan hangat dan mampu mendominasi carta lagu tempatan,” katanya.

​“Adek Saye Abe Sore” yang turut mendapat sentuhan lirik daripada Fadil Turbo, Mama Ana, Jaju, dan Te Ha merupakan terbitan Kijang Music dengan edaran Nova Music Malaysia.

Lagu ini kini boleh didengari di semua platform penstriman digital, manakala video muziknya boleh ditonton di saluran YouTube rasmi Kijang Music bermula hari ini.

Loading...