Ikuti Kami:

Sanggup Buat Laporan Polis Konon Disamun Dua Lelaki Rohingya, Rupanya Takut Isteri Marah Habiskan Duit Gaji

Sanggup Buat Laporan Polis Konon Disamun Dua Lelaki Rohingya, Rupanya Takut Isteri Marah Habiskan Duit Gaji

Kerana takut dimarahi oleh isterinya, seorang pengawal keselamatan berusia 65 tahun sanggup membuat laporan polis palsu.

Ketua Polis Daerah Kemaman, Superintendan Hanyan Ramlan berkata lelaki itu telah tampil di balai polis untuk membuat laporan dan mendakwa dirinya telah dirompak oleh dua orang lelaki Rohingya di Kijal

Menurut ceritanya, dia telah berhenti di stesen minyak untuk mengeluarkan duit dan kemudian didatangi dua lelaki itu dengan helah meminta bantuan membawa seorang kawan yang sakit pergi ke klinik.

Dia mendakwa bahawa selepas keluar dari kereta, salah seorang daripada lelaki Rohingya itu telah meletakkan pisau di belakangnya manakala lelaki yang berbaring tadi bangun dan mengacukan parang ke perutnya.

Dakwa pengawal keselamatan itu, duitnya sebanyak RM1,100 telah diambil dari poket dan dilarikan dua lelaki berkenaan menaiki motosikal.

Bagaimanapun, siasatan polis akhirnya membongkarkan bahawa tiada rompakan yang berlaku seperti didakwa dan selepas disoal siasat, lelaki berkenaan mengaku dia hanya mereka cerita.

Dia membuat laporan palsu kerana terdesak dan takut untuk memberitahu isterinya bahawa dia telah menghabiskan seluruh gajinya, termasuk wang belanja hidup mereka.

Hanyan Ramlan berkata kes kini sedang disiasat di bawah Seksyen 182 Kanun Keseksaan kerana memberikan maklumat palsu kepada penjawat awam.

Komen
Loading...