Ikuti Kami:

Samsons Janji Persembahan Penuh Emosi di IDEA Live Arena

Samsons Janji Persembahan Penuh Emosi di IDEA Live Arena

Kumpulan muzik terkenal dari Indonesia, Samsons berjanji menghadiahkan persembahan penuh emosi menerusi konsert Samsons Live in Malaysia Kenangan Terindah yang bakal berlangsung pada 9 November depan di IDEA Live Arena, Damansara 3, Petaling Jaya.

Menurut penganjur rasmi, Orlaith Inc, konsert tersebut dijangka menjadi salah satu persembahan paling istimewa tahun ini dengan gabungan muzik, visual dan elemen emosi yang mendalam.

“Konsert ini bukan sekadar menghiburkan, tetapi turut menjadi ruang untuk meraikan kasih sayang, perpaduan dan kenangan yang tersemat jauh dalam hati peminat. Muzik Samsons sejak dulu membawa emosi yang sukar diungkap dengan kata-kata, dan itulah yang akan kita hidupkan di pentas nanti,” kata Pengarah Urusan Orlaith Inc, Azam Ismail Bakri.

Konsert tersebut akan menampilkan konsep enam elemen iaitu angin, bumi, api, air, logam, serta kasih sayang dan perpaduan yang digabungkan bagi mencipta pengalaman pancaindera buat penonton.

Antara lagu popular Samsons yang bakal dipersembahkan termasuk Kenangan Terindah, Naluri Lelaki, Akhir Rasa Ini dan Kisah Tak Sempurna, yang sering menjadi simbol cinta, kerinduan dan pengorbanan kepada peminat setia mereka di seluruh rantau ASEAN.

Bagi mengukuhkan lagi keterlibatan peminat, Samsons turut mengumumkan satu inisiatif interaktif di Instagram, di mana peminat Malaysia dijemput berkongsi kata-kata dan perasaan yang berpotensi diangkat sebagai inspirasi lagu baharu bertemakan kasih sayang serta perpaduan.

Tiket konsert kini boleh didapati menerusi platform ticket2u.com dan fantopia.io, dengan harga bermula daripada RM154 sehingga RM5,000 untuk pakej VVIP yang turut merangkumi akses istimewa serta barangan eksklusif.

Komen
Loading...