Ikuti Kami:

Sammy Simorangkir Buktikan Karya ‘Everlasting’ Tidak Ditelan Zaman

Sammy Simorangkir Buktikan Karya ‘Everlasting’ Tidak Ditelan Zaman

Biarpun arus muzik dunia terus berubah dengan kehadiran gelombang bakat muda, penyanyi tersohor Indonesia, Sammy Simorangkir membuktikan bahawa naskhah cinta yang berkualiti tetap mempunyai tempat yang utuh di hati peminat.

Tampil buat pertama kalinya dalam konsert solo berskala besar di Malaysia menerusi Sammy Simorangkir Live In KL Vol.1, bekas vokalis kumpulan Kerispatih itu berjaya memukau ruang ZEPP Kuala Lumpur yang dibanjiri peminat setia pada Sabtu malam.

Membawa tema A Night Blooming with Roses & Love, Sammy, 43, menyifatkan kualiti sesebuah karya tidak seharusnya diukur pada usia atau trend semasa, sebaliknya pada kejujuran emosi yang disampaikan kepada pendengar.

“Saya mencuba jadi diri sendiri sahaja. Jika kita sentiasa berusaha menjadi orang lain, mungkin kita boleh diterima, tetapi tidak dalam jangka waktu yang lama.

“Karya itu tidak boleh diukur oleh umur. Walaupun usia bertambah, karya harus tetap muda dan mengikuti zaman. Saya bersyukur kerana masih ada yang ingin mendengarkan suara ini, termasuk generasi baharu (Gen Z),” katanya ketika ditemui sebelum konsert tersebut.

Sepanjang dua jam persembahan, Sammy melakarkan sebuah kanvas emosi yang membawa penonton menyelami setiap liku garis masa kerjayanya dengan penuh teliti

Antara segmen yang paling mendapat sorakan gemuruh ialah Tribute Legacy yang menyaksikan Sammy mendendangkan lagu-lagu malar segar sewaktu bersama Kerispatih seperti Demi Cinta, Tapi Bukan Aku, Mengenangmu, dan Aku Harus Jujur.

Bagi memberikan impak maksimum, Sammy tampil dengan sokongan muzik orkestra yang telah dirakam khas, memberikan rasa yang lebih megah dan intim buat penonton.

“Saya harus profesional dan memberikan persembahan terbaik. Malah, saya sentiasa mencabar diri untuk memberikan kualiti vokal yang lebih bagus berbanding dalam CD atau rakaman asal,” ujarnya lagi.

Konsert ini turut menandakan kejayaan sulung buat syarikat penganjur, Ideaatelier. Ketua Pegawai Eksekutifnya, Ezuwan Ismail berkata, pemilihan Sammy sebagai artis pertama di bawah penganjuran mereka adalah berdasarkan kredibiliti vokal penyanyi itu yang tiada galang ganti.

“Saya sendiri adalah peminat tegar Sammy. Apabila menubuhkan Ideaatelier pada Ogos tahun lalu, saya bertekad untuk menjadikan konsert solo Sammy sebagai projek pertama kami.

“Alhamdulillah, segalanya berjalan lancar dan ini merupakan penanda aras bagi penganjuran acara kami pada masa hadapan,” kata Ezuwan yang juga tidak menolak kemungkinan untuk menganjurkan Volume 2 pada masa akan datang.

Selain persembahan vokal, Sammy turut berkongsi sisi santainya yang menggemari budaya Malaysia, terutama kopi tiam dan durian jenis Black Thorn serta Musang King yang menjadi buruan utamanya sebaik tiba di ibu kota.

Konsert yang turut mendapat sokongan penaja utama Beauboss Malaysia ini diakhiri dengan persembahan encore menerusi lagu Bila Rasa Ku Ini Rasamu, sekali gus meninggalkan memori indah yang akan dikenang buat peminat di Malaysia.

Komen
Loading...