Sambutan Luar Biasa, Konsert Kasih Kekasih Pindah ke Lokasi Lebih Besar
- oleh Mohd Indera
- 1 hari lalu

Sambutan luar biasa terhadap Konsert Kasih Kekasih 25 Tahun oleh kumpulan nasyid terkenal, Inteam, mencetuskan perubahan lokasi dan tarikh acara tersebut.
Konsert yang asalnya dirancang di lokasi lebih kecil kini akan diadakan di IdeaLive, Petaling Jaya, pada 28 September 2025.
Langkah ini diambil selepas tiket di venue asal habis terjual hanya dalam dua jam selepas pelancaran.
IdeaLive dipilih kerana ia mampu menampung sehingga 5,000 penonton, memberikan peluang kepada lebih ramai peminat untuk menikmati persembahan.
“Kami amat bersyukur dengan sokongan luar biasa ini. Sambutan hebat ini membuktikan bahawa nasyid masih mendapat tempat di hati peminat selepas lebih dua dekad,” kata pengasas Inteam, Hazamin Harun dalam sidang media di Sri Damansara hari ini.
Selain lokasi, tarikh konsert turut berubah daripada 27 September kepada 28 September 2025 untuk menyesuaikan dengan kekosongan tempat baru.
Bagi pembeli tiket awal, mereka akan diberikan keutamaan tempat duduk istimewa di zon masing-masing.
Tambahan pula, sebagai tanda penghargaan, mereka akan menerima hadiah khas daripada Aplikasi Khair.
Tiket baharu bagi lokasi ini akan mula dijual pada 14 Jun 2025 melalui platform Ticket Empire di laman rasmi konsert, www.kasihkekasih.com.
Konsert ini bakal menyajikan 25 lagu popular serta medley nostalgia, termasuk penampilan khas anak kepada Allahyarham Suhaimi Saad.
Beberapa artis jemputan turut dijangka membuat persembahan, namun nama mereka masih dirahsiakan.
“Peminat yang tidak berjaya mendapatkan tiket awal jangan risau. Insya-Allah, kita akan bertemu di jelajah konsert selepas ini,” katanya.
Inteam turut menzahirkan penghargaan kepada MINAZ Sdn Bhd selaku penaja utama dan rangkaian radio Astro – Zayan, Era, Sinar, serta Gegar – sebagai radio rasmi.
Selain itu, Aplikasi Khair terus menunjukkan komitmen sebagai penaja utama yang sebelum ini pernah membawa kumpulan itu ke Perth dan New Zealand.
Untuk maklumat lanjut dan pembelian tiket, peminat boleh menghubungi Unit Media Konsert Kasih Kekasih menerusi emel [email protected] atau WhatsApp di 017-6681885.
Foto Oleh: Subky Hj Bebit.