Ikuti Kami:

#SAMASAMAKENYANG: Program Kongsi Rezeki 2025 Sasar 1,000 Golongan Memerlukan di Bulan Ramadan

#SAMASAMAKENYANG: Program Kongsi Rezeki 2025 Sasar 1,000 Golongan Memerlukan di Bulan Ramadan

Dengan semangat kebersamaan dan kasih sayang, Program Kongsi Rezeki: Infaq Ramadan 2025 kembali dengan tema #SAMASAMAKENYANG, menyasarkan bantuan kepada 1,000 individu daripada golongan asnaf, anak-anak tahfiz, pesakit kanser kanak-kanak, penghuni rumah orang tua, dan gelandangan.

Tahun ini, Program Kongsi Rezeki 2025 turut berkolaborasi dengan Adina Charity Circle dan selebriti Putra Amaris dalam usaha menyantuni pesakit kanser kanak-kanak serta membantu menyediakan keperluan asas seperti pakaian sekolah, baju raya, lampin pakai buang, dan susu bernutrisi kepada anak-anak pejuang kanser di seluruh Malaysia.

Kolaborasi ini diharapkan dapat menarik lebih ramai masyarakat dan badan korporat untuk bersama-sama menghulurkan sumbangan dan menyebarkan kebaikan sepanjang Ramadan.

Sebagai sebahagian daripada usaha mengumpulkan dana, program berbuka puasa amal akan dianjurkan pada 15 Mac 2025 di Warung Pagi Pagi, yang akan menghimpunkan anak-anak tahfiz dalam satu sesi selawat dan tazkirah. Seterusnya, pada 22 Mac 2025, Majlis Tahfiz Berselawat akan diadakan di Saloma, Kuala Lumpur.

Dari kiri, Mohd Khairi Mohamed, Rakan Kongsi Saloma, Amaris; Dr Raja Laila Rani Mohammad Abdullah, Pengerusi The Muslim world womens summit dan Aman Rasyidi Mohd Noor, C.O.O SoftRein

Sebanyak 30 meja berbuka puasa akan dijual, dengan hasilnya disalurkan kepada Maahad Tahfiz Misbahul Falah Keramat dan Adina Charity Circle bagi membantu pesakit kanser kanak-kanak.

Program ini turut memberi perhatian kepada warga emas yang tiada waris di Mesra Home Ampang, dengan dana dikumpulkan melalui penjualan buku Aku Penjaga Nenek.

Selain itu, usaha khas dijalankan bagi menyediakan pakaian sekolah, baju raya, dan keperluan harian lain untuk anak-anak pejuang kanser.

Seperti tahun-tahun sebelumnya, program ini akan menjelajah kawasan Projek Perumahan Rakyat (PPR) di sekitar Kuala Lumpur dan Malaysia untuk menyampaikan 1,000 set bakul makanan dan kampit beras kepada golongan asnaf.

Matlamatnya adalah memastikan setiap keluarga dapat menikmati juadah berbuka dan sahur tanpa kebimbangan.

Bagi memudahkan masyarakat menyalurkan sumbangan, Team Kongsi Rezeki akan bekerjasama dengan Today Assist sebagai platform infaq digital, membolehkan pengguna memilih rumah kebajikan pilihan mereka dan menyalurkan sumbangan terus ke akaun penerima.

Inovasi ini menjadikan infaq lebih mudah dan pantas, membolehkan sesiapa sahaja berkongsi rezeki di hujung jari.

Di samping itu, Kongsi Rezeki 2025 juga memberi tumpuan kepada penyediaan kemudahan beribadah melalui program “Infaq Surau.”

Dengan kerjasama SoftRein, pasukan sukarelawan akan membantu membersihkan surau-surau di kawasan perumahan asnaf menggunakan sabun PowerRein dan SoftRein.

Sasaran infaq termasuk 1,000 sejadah dan 1,000 botol sabun yang akan disalurkan kepada surau dan golongan asnaf di kawasan tersebut.

Penganjur menegaskan bahawa 100% sumbangan yang diterima akan terus disalurkan kepada penerima tanpa sebarang pemotongan.

Program ini bukan sekadar satu inisiatif kebajikan, tetapi satu gerakan untuk mengajak masyarakat berkongsi rezeki dan memastikan semua orang dapat menikmati Ramadan dengan bahagia dan kenyang.

Mari bersama menyebarkan kebaikan dan menjadikan Ramadan kali ini lebih bermakna buat semua!

Komen
Loading...