Ikuti Kami:

Sakura Band ‘RE:START’, Tekad Kembali Warnai Industri Muzik Tanah Air

Sakura Band ‘RE:START’, Tekad Kembali Warnai Industri Muzik Tanah Air

Selepas fasa berehat yang panjang, kumpulan muzik popular, Sakura Band, kini secara rasmi mengumumkan kepulangan mereka ke persada seni tempatan menerusi pelancaran album studio terbaharu berjudul ‘RE:START’.

Pelancaran album yang membawa mesej kebangkitan semula itu diadakan dalam satu majlis sidang media dan persembahan istimewa di Hard Rock Café, Kuala Lumpur, semalam.

Vokalisnya, Mell atau nama sebenarnya Melly Matius berkata, pemilihan tajuk ‘RE:START’ bukan sekadar simbolik, malah mencerminkan lembaran baharu yang lebih matang buat mereka sebagai sebuah kumpulan.

“Konsep kali ini memang lebih kepada kemunculan semula Sakura Band selepas lama berehat. Dari segi muzik, ada sedikit perubahan di mana kami lebih ke arah pop rock, namun tetap mengekalkan identiti asal Sakura Band yang dikenali peminat,” katanya.

Album ini memuatkan lapan buah lagu termasuk trek pengenalan yang menceritakan naratif peribadi setiap ahli kumpulan. Menurut Mell, keunikan album ini terletak pada kejujuran liriknya yang diinspirasikan daripada pengalaman hidup dan realiti sekeliling.

Sebagai strategi menarik perhatian peminat setia, Sakura Band mempertaruhkan lagu berunsur pop berjudul “Masih” sebagai single utama.

“Kami mahu peminat lama dapat merasakan ‘vibe’ Sakura Band yang mereka kenal dahulu. Lagu ini mempunyai elemen pop yang kuat, hampir menyamai aura lagu Melepaskanmu, sekaligus menjadi ‘jambatan’ untuk membawa pendengar kembali kepada muzik kami,” jelasnya lagi.

Menariknya, album ini turut menyaksikan kerjasama erat bersama nama-nama besar seperti penyanyi dan penulis lagu, Adi 6ixth Sense, serta pemain gitar kumpulan Akim & The Majistret, Laq.

Walaupun proses produksi yang bermula sejak Januari 2025 itu berdepan cabaran dari segi penyelarasan komitmen dan pencarian idea segar, Sakura Band menyifatkan proses penghasilan album ini sebagai satu pengalaman pembelajaran yang bermakna kerana mereka turut bertindak sebagai penerbit sendiri.

Diterbitkan di bawah label Seventeen Eleven Music, Sakura Band berharap ‘RE:START’ dapat mengukuhkan semula kedudukan mereka dalam industri muzik yang kian mencabar.

Album ‘RE:START’ kini boleh didapati di semua pelantar penstriman digital bermula 17 April 2026, manakala video muzik rasmi “Masih” boleh ditonton di saluran YouTube Seventeen Eleven Music.