Ikuti Kami:

Sakura Band Lancar Single Raya Pertama “Raya Di Kampung”

Sakura Band Lancar Single Raya Pertama “Raya Di Kampung”

Bersempena ketibaan Syawal, kumpulan pop rock popular, Sakura Band, akhirnya merealisasikan impian mereka untuk memiliki lagu raya sendiri menerusi pelancaran single terbaharu berjudul “Raya Di Kampung”.

Lagu yang sarat dengan elemen nostalgia itu bukan sekadar buah tangan buat peminat, malah menjadi simbol pencapaian bermakna dalam perjalanan seni kumpulan berkenaan.

Vokalisnya, Melley Matius atau lebih dikenali sebagai Mell, berkata penerbitan lagu bertemakan sambutan Aidilfitri itu memang tersenarai dalam ‘wishlist’ Sakura Band sejak awal penubuhan kumpulan tersebut.

“Lagu raya memang antara perkara yang ingin kami hasilkan. ‘Raya Di Kampung’ bertemakan suasana pulang ke desa kerana kami ingin menggambarkan perasaan seronok dan teruja untuk menyambut lebaran bersama keluarga tersayang.

“Idea lagu ini sebenarnya terinspirasi daripada lagu ‘Balik Kampung’ dendangan Allahyarham Tan Sri Sudirman Arshad. Kami mahu mencipta lagu bertemakan balik kampung dengan sentuhan muzik moden, namun pada masa sama tetap mengekalkan elemen nostalgia yang dekat di hati pendengar,” katanya.

Mengulas mengenai proses pembikinan, Mell menjelaskan mereka mahu mengekalkan pendekatan yang santai dan organik bagi memastikan setiap pendengar dapat merasai ‘mood’ keterujaan pulang ke kampung.

“Kami tidak mahu terlalu menekankan aspek teknikal yang berat. Apa yang lebih penting, kami mahu pendengar berasa santai, terhibur dan benar-benar merasai suasana sambutan raya. Lagu ini dicipta agar ia mudah didengar dan mampu menyentuh hati sesiapa sahaja,” ujarnya.

Dari segi gubahan muzik, Sakura Band mengekalkan identiti bunyi yang sinonim dengan kumpulan itu seperti yang pernah dipopularkan menerusi single ‘Polaroid’, namun menyuntik elemen tradisional Melayu bagi memberikan ‘warna’ istimewa Aidilfitri.

Selain ditujukan kepada mereka yang bakal pulang ke kampung, Mell berharap lagu ini juga mampu mengubat kerinduan buat mereka yang tidak berpeluang untuk beraya di desa.

“Kami mahu semua orang berasa gembira mendengar lagu ini. Bagi yang tidak dapat pulang ke kampung, kami harap ia dapat memberi sedikit sebanyak perasaan seronok dan keterujaan menyambut lebaran,” katanya.

Single ‘Raya Di Kampung’ merupakan hasil ciptaan Nawfas dan Melley Matius, dengan lirik sepenuhnya ditulis oleh Mell. Ia diterbitkan dengan kerjasama Sakura Band bersama Wan 6ixthsense, Koh Kpro, Bajai, Amat Octo dan Harry Bakhari.

Lagu terbitan Seventeen Eleven Music itu kini boleh distrim di semua platform muzik digital utama.

Loading...