Sajian Imbauan Desa: Lebih 70 Menu Warisan di Farmer Village
- oleh MDaily Editor
- 21 Feb 2026 4:15 pm
Kerinduan terhadap juadah berbuka puasa di kampung halaman kini boleh terubat apabila dua jenama restoran terkenal, Gajah Tiga dan Farmer Village, buat julung kalinya bergabung mempersembahkan buffet Ramadan bertemakan ‘Sajian Imbauan Desa’.
Istimewanya tahun ini, kolaborasi berkenaan bakal menghidangkan lebih 70 menu warisan Melayu yang dipilih khas untuk menggamit memori setiap kali berkumpul bersama keluarga dan rakan-rakan sepanjang bulan yang mulia.
Pengasas Farmer Village, Dato’ Peter Ng berkata, kerjasama dengan Gajah Tiga bertujuan memberikan variasi pilihan yang lebih unik kepada pengunjung dengan menggabungkan kepakaran kedua-dua belah pihak.
“Ini merupakan kali pertama Farmer Village menganjurkan buffet Ramadan. Kami mengetengahkan konsep bertemakan suasana bazar bagi menghidupkan kembali kemeriahan bulan puasa.
“Kami menyasarkan lokasi ini sebagai pusat rekreasi yang boleh dinikmati tiga generasi serentak, menawarkan gabungan makanan, minuman dan persekitaran yang santai untuk seisi keluarga,” katanya.

Sementara itu, Pengarah Syarikat Gajah Tiga, Nazri Hendra berkata, penglibatan mereka adalah untuk memartabatkan masakan tradisional Melayu dan memberi nafas baru melalui penyelidikan dan pembangunan (R&D) makanan.
Antara hidangan utama yang bakal menjadi tumpuan termasuklah ‘signature’ Cucur Udang Gajah Tiga, Rendang Tok, Ayam Masak Lemak Cili Api, Gulai Daging Kawah, Sate, Tempoyak Pucuk Ubi dan Kambing Golek.
Bagi peminat pencuci mulut, terdapat hampir 20 pilihan kuih tradisional seperti Pengat Pisang, Bubur Pulut Hitam, Roti Jala, Cucur Jawa, Talam Cendol serta sentuhan moden melalui Coconut Brownies.
Buffet Ramadan Sajian Imbauan Desa ini akan bermula pada 23 Februari 2026. Harga ditawarkan bermula dari RM78 hingga RM128, namun 1,000 pelanggan terawal berpeluang menikmati harga ‘early bird’ serendah RM68 hingga RM98.
Sajian Imbauan Desa
Tarikh: Bermula 23 Februari 2026
Lokasi: Farmer Village
Tempahan: 012-725 9113 / 012-747 9113
Harga: RM78 – RM128 (Early Bird: RM68 – RM98)




