Selepas sekian lama menyepi, penyanyi berbakat besar Sahri Mohd Sarip, yang kini mahu dikenali sebagai Sahr1, kembali menghangatkan industri muzik tempatan dengan pelancaran single terbaharunya, Cherita Chinta Kita (#CCK).
Lagu berentak pop balada ini membawa elemen nostalgia dari era 80-an hingga 2000-an, mengukuhkan kemunculan semula Sahr1 dalam dunia seni suara Malaysia.
Dikenali ramai sebagai finalis separuh akhir Akademi Fantasia 2003, Sahr1 bukanlah pendatang baru dalam industri ini.
Beliau juga pernah meraih pengiktirafan tinggi apabila memenangi Anugerah Juara Lagu 2007 (Kategori Balada) menerusi lagu Izinku Pergi.
Memiliki vokal unik yang menjadi tanda pengenalannya, Sahr1 kini bersedia untuk memikat hati generasi lama dan baharu dengan lagu baharunya.
Lagu ini menyampaikan kisah tentang keindahan dan ketulusan cinta, serta pentingnya menjaga hubungan itu hingga ke akhirnya.
Diterbitkan oleh DCLeF Entertainment, karya ini mendapat sentuhan profesional daripada barisan kreatif terkenal, termasuk Fazo sebagai penulis lagu dan lirik, Birgitta Abeysekra sebagai pengatur muzik, serta Wan Saleh yang bertanggungjawab untuk proses mixing dan mastering.
Muzik bagi lagu ini turut menampilkan pemuzik berbakat seperti Sotong (Fendy) di bahagian dram, Emypakok (gitar), dan Birgitta Abeysekra (piano), menjadikannya sebuah karya yang lengkap dengan elemen artistik berkualiti tinggi.
Berlatarkan pendidikan seni, Sahr1 merupakan lulusan Diploma Teknologi Bunyi dan Muzik dari Universiti Teknologi Kreatif Lim Kok Wing.
Dengan pengalaman bertahun-tahun dalam industri ini, beliau menggabungkan ilmu dan bakat semula jadinya untuk menghasilkan lagu yang diharap dapat meninggalkan impak besar kepada peminat muzik Malaysia.
Cherita Chinta Kita (#CCK) akan mula disiarkan di semua platform penstriman seperti Spotify, Apple Music, dan YouTube mulai 16 November 2024, jam 9.00 malam.
Dengan pelancaran ini, Sahr1 berharap dapat mengembalikan kegemilangan kerjayanya sambil memberikan sesuatu yang segar kepada industri muzik tempatan.
Single ini menjadi bukti bahawa Sahr1 bukan sekadar mengimbau kenangan lama, tetapi turut membawa inovasi baharu dalam karya-karyanya, menjadikannya lebih relevan dengan citarasa pendengar masa kini.