Ryzall Noh Tawan Hati Pendengar dengan Sentuhan Sufi dalam ‘Darwish’
- oleh Mohd Indera
- 2 minggu lalu

Nama Ryzall Noh mungkin masih baharu di kalangan peminat muzik Malaysia, namun dengan hanya satu lagu, Darwish, penyanyi berbakat besar dari Singapura ini berjaya mencuri perhatian ramai.
Sarat dengan elemen spiritual dan lirik yang menyentuh hati, lagu ini membuka lembaran baharu buat Ryzall dalam usaha menawan hati pendengar serantau.
Darwish bukan sekadar sebuah lagu cinta biasa. Ia membawa makna mendalam — kisah pengorbanan, kerinduan, dan pencarian cinta sejati yang diinspirasikan daripada perjalanan sufi dalam mengenal Tuhan.
Elemen ini menjadi kekuatan utama yang membezakan Darwish daripada karya mainstream lain.
“Darwish ini sememangnya terkenal dalam cerita-cerita sufisme. Kesimpulannya, ia tentang sufi iaitu perjalanan mencari Tuhan,” jelas Ryzall yang juga bertindak selaku komposer bersama Yazri Malik.
Lebih istimewa, liriknya ditulis oleh penulis lirik tersohor Hairul Anuar Harun (HAH), yang pernah menghasilkan lirik untuk lagu-lagu ikonik seperti Cindai, Hati Kama, Samrah Mentari dan Nirmala.
Gabungan antara kekuatan melodi, lirik puitis dan produksi berkualiti menjadikan Darwish sebuah karya seni yang lengkap dan menyentuh jiwa.
Barisan pemuzik yang terlibat turut memperkukuh kekuatan lagu ini. Addy Cradle menyumbang permainan gitar akustik dan elektrik, Wendy D’bagindas (bass), Bajai (keyboard), Fairuz Samil (dram), Didi Muliadi (perkusi), dan vokal latar dari Amelia Azizan dan Addy Cradle.
Proses rakaman pula dijalankan merentasi tiga negara – Studio 47 di Singapura, Studio Starlight di Indonesia dan Studio Sci-fi di Malaysia.
Menariknya, Darwish bukan sahaja mendapat sambutan hangat di Malaysia dan Singapura, tetapi juga menembusi pasaran antarabangsa termasuk di stesen radio Amerika Latin dan Sepanyol — satu pencapaian luar biasa buat penyanyi yang baru sahaja memperkenalkan diri di arena solo.
Ryzall yang pernah menganggotai kumpulan Audionauts dari 2010 hingga 2017 sememangnya tidak asing dengan kejayaan. Kumpulan tersebut pernah memenangi Anugerah Planet Muzik 2013 dan 2015, serta meraih anugerah Lagu Tertinggi Royalti di Anugerah Compass Singapura.
Kini, bergerak secara solo, Ryzall tidak hanya bergelar penyanyi tetapi juga pelakon, penerbit, penulis lirik dan komposer yang semakin mendapat tempat di kalangan penggiat seni serantau.
Peminat boleh mengikuti perkembangan terkininya menerusi platform media sosial seperti Instagram, TikTok dan YouTube, di mana Ryzall turut berkongsi projek-projek baharu termasuk lagu Tak Seindah Kata dan Sebuah Cinta yang bakal menyusul selepas Darwish.
Dengan gaya muzik yang unik, mesej mendalam dan vokal penuh emosi, Ryzall Noh kini bersedia mengukir namanya dalam hati peminat muzik Malaysia.
Untuk menikmati lagu Darwish dan karya-karya lain, peminat boleh mengunjungi platform penstriman seperti Spotify dan Apple Music.