
Pempengaruh media sosial terkenal, Ryan Bakery, semakin selesa mengendalikan segmen 3 Pagi Era bersama Nabil Ahmad dan Radin sejak awal minggu lalu.
Meskipun ramai beranggapan tugas sebagai penyampai radio mudah, Ryan menegaskan hakikatnya ia bukan sekadar bercakap di udara, tetapi memerlukan kemahiran komunikasi yang baik agar tidak dianggap ‘syok sendiri’ ketika bersiaran.
“Ramai pendengar fikir tugas penyampai radio mudah, tapi sebenarnya banyak perkara perlu diambil kira. Selain keserasian sesama penyampai, kami juga perlu memastikan topik perbincangan menarik dan mampu melibatkan pendengar,” katanya.
Menurut Ryan, pengalaman baharu ini membuka matanya terhadap peranan penyampai radio dalam mengawal emosi pendengar yang kadangkala memerlukan tempat untuk meluahkan perasaan.
“Nabil dan Radin banyak membantu saya menyesuaikan diri. Mereka sangat berpengalaman dan tidak lokek berkongsi ilmu,” katanya yang merupakan finalis kategori Digital Creator (Hiburan), Gempak Most Wanted Award.
Apa yang lebih menggembirakan Ryan adalah maklum balas positif yang diterimanya di media sosial. Ramai pendengar terhibur dengan kehadirannya dalam segmen yang bersiaran setiap hari dari jam 6 hingga 10 pagi.
“Pada mulanya saya agak takut kerana menggantikan tempat Pak Azad yang sedang menunaikan umrah. Saya risau dibandingkan dengan dia yang sudah mempunyai pengikut tersendiri.
“Tapi selepas melihat reaksi positif pendengar, saya lega. Mereka menerima saya seadanya dan itu sudah cukup menggembirakan,” katanya yang turut berkongsi kegembiraan selepas menghantar kedua-dua ibu bapanya menunaikan umrah minggu lalu.
Ryan menyifatkan peluang ini sebagai rezeki baharu dalam kerjaya seninya dan bertekad untuk terus memberikan yang terbaik sepanjang berada di stesen Era.