Ikuti Kami:

RXZ Members 6.0 : Seorang Peserta Maut Kemalangan di LPT2

RXZ Members 6.0 : Seorang Peserta Maut Kemalangan di LPT2

KUALA TERENGGANU: Seorang peserta RXZ Members 6.0 maut selepas terlibat dalam kemalangan dengan sebuah lagi motosikal jenis sama dan sebuah treler di Kilometer 379.5 Lebuhraya Pantai Timur 2 (LPT2), petang tadi.

Ketua Polis Daerah Hulu Terengganu DSP Zainul Mujahidin Mat Yudin berkata kemalangan 3 petang itu, menyebabkan Ahmad Amir Muhammad, 29, dari Felda Seroja, Jengka 18, Temerloh, Pahang maut akibat kecederaan di bahagian kepala.

“Siasatan awal mendapati mangsa dalam perjalanan pulang ke rumahnya dan setibanya di lokasi berhampiran Ajil-Bukit Besi mangsa dikatakan telah memotong sebuah treler menggunakan laluan kecemasan, sebelum bergesel dengan sebuah motosikal jenis sama yang sedang berhenti di lorong berkenaan.

“Akibatnya, mangsa telah terjatuh dan terseret masuk ke bawah treler berkenaan. Mangsa disahkan meninggal dunia di tempat kejadian. Seorang lagi penunggang motosikal dan pemandu treler tidak mengalami sebarang kecederaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata mayat lelaki yang bekerja sebagai buruh itu, dihantar ke Unit Forensik Hospital Hulu Terengganu untuk tujuan post-mortem dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Terdahulu, lebih 40,000 peserta dari seluruh negara membanjiri Litar Permotoran Terengganu, Gong Badak, Kuala Nerus selama dua hari bermula Jumaat, sempena program himpunan motosikal RXZ Members 6.0 yang memasuki siri keenam penganjuran, tahun ini.

Sumber
BERNAMA
Komen
Loading...