Ikuti Kami:

RWG Tawar Pakej ‘Cuti-Cuti Raya’ Serendah RM332, Nikmati Penginapan Mewah di Puncak Awan

RWG Tawar Pakej ‘Cuti-Cuti Raya’ Serendah RM332, Nikmati Penginapan Mewah di Puncak Awan

Resorts World Genting (RWG) menyemarakkan sambutan Hari Raya Aidilfitri tahun ini dengan memperkenalkan pakej penginapan eksklusif ‘Cuti-Cuti Raya’ pada harga mampu milik, bermula serendah RM332 satu malam.

Menerusi kempen Jom Raya Kaw Kaw yang berlangsung dari 13 Mac hingga 12 April 2026, pusat peranginan tanah tinggi itu menawarkan pelbagai pilihan bilik bagi memenuhi keperluan keluarga dan kumpulan besar yang ingin meraikan Syawal dalam suasana dingin di puncak awan.

Jurucakap Resorts World Genting berkata, sambutan tahun ini dirancang khas untuk menggabungkan elemen nostalgia pop dengan tradisi tempatan bagi mencipta memori yang tidak dapat dilupakan oleh setiap pengunjung.

“Kami mahu setiap pengunjung merasai kemeriahan Aidilfitri yang benar-benar ‘Kaw Kaw’ di puncak awan. Melalui kolaborasi bersama Care Bears dan tawaran pakej penginapan yang kompetitif, RWG komited menyediakan destinasi percutian yang inklusif untuk semua lapisan masyarakat bagi meraikan nilai kebaikan dan perpaduan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Bagi pemegang kad Genting Rewards, bilik kategori Superior Deluxe ditawarkan pada harga istimewa RM332, manakala bagi bukan ahli, ia bermula pada kadar RM360. Bagi mereka yang bercuti bersama keluarga, kategori Superior Deluxe Sixer boleh didapati dari RM432 semalam.

Pengunjung yang inginkan keselesaan lebih mewah boleh memilih Club Suite (RM507) atau Executive Suite (RM732).

Bagi kumpulan yang lebih besar, pilihan penginapan di Villa dan Mansion turut disediakan dengan harga bermula masing-masing RM1,588 dan RM1,788, lengkap dengan hidangan makan malam perayaan untuk empat orang.

Kemeriahan raya di RWG kali ini turut diserikan dengan kehadiran karakter ikonik, Care Bears, yang menghiasi Kimhua Atrium. Pengunjung berpeluang menyertai sesi bertemu peminat (Meet and Greet) bersama Cheer Bear dan Grumpy Bear pada setiap hujung minggu bermula 14 hingga 28 Mac ini.

Bagi penggemar swafoto, Pavilion Hall tampil dengan hiasan karusel bulan sabit dan bintang yang memukau, dikelilingi gerbang pelita gergasi yang menerangi suasana malam di resort berkenaan.

Sepanjang tempoh kempen, pengunjung yang berbelanja mengikut nilai tertentu berpeluang menebus ganjaran eksklusif menerusi program Syawal Redemption, merangkumi sampul Raya Care Bears, baucar beli-belah, serta barangan edisi terhad seperti pin dan cawan khas.

Dari segi kulinari, Jom Makan SkyAvenue menawarkan Set Setalam Aidilfitri pada harga RM45 yang menyajikan ayam percik dan nasi minyak, manakala Jom Makan Street Food menyediakan pelbagai aneka kerabu tradisional bermula dari RM8.

Bagi mereka yang merancang percutian, tempahan pakej ‘Cuti-Cuti Raya’ kini dibuka sehingga 28 Mac 2026 untuk tempoh penginapan antara 20 hingga 29 Mac ini. Maklumat lanjut boleh didapati menerusi laman web rasmi rwgenting.com.

Loading...