Resorts World Genting (RWG) bakal memeriahkan suasana musim perayaan hujung tahun ini menerusi penganjuran dua malam ‘countdown’ pada 24 dan 31 Disember ini bertempat di Arena of Stars.
RWG dalam satu kenyataan hari ini memaklumkan bahawa kedua-dua malam istimewa itu bakal menampilkan gabungan muzik secara langsung, persembahan tarian serta set DJ bertenaga tinggi, selain turut disiarkan secara langsung di Madison Square bagi membolehkan pengunjung menyaksikan tontonan di kawasan terbuka.
Bagi malam Krismas, acara akan dikendalikan oleh emcee Khye dan dimeriahkan dengan persembahan vokal daripada barisan penyanyi popular tanah air iaitu Vanessa Reynauld, Ronnie Jupiter serta Angela Ong.
Selain persembahan tarian dan hiburan lain, sambutan tersebut akan mencapai kemuncaknya dengan medley Krismas sebelum pengiraan detik bersama DJ Blink yang turut dilengkapi dengan pertunjukan bunga api, laser dan grafik 3D.
Menjelang sambutan Tahun Baharu pula, Dr Shaun Stephen akan bertindak sebagai pengacara bagi memimpin acara yang menampilkan kumpulan Canto-rap tempatan, ManHanD, bersama barisan artis lain seperti Juztin Lan, KAIA Lee dan Tan Yin Ern.
Kemuncak malam tersebut bakal menampilkan DJ Wukong dari Singapura yang akan membawa tenaga festival sehingga detik akhir tahun dan diteruskan dengan acara selepas tengah malam.

Menurut kenyataan itu lagi, kemasukan bagi kedua-dua acara pengiraan detik tersebut adalah percuma dengan tempat duduk disediakan berdasarkan prinsip siapa cepat, dia dapat melalui penebusan tiket di kaunter atau kempen PMP.
Sekiranya kapasiti di Arena of Stars penuh, pengunjung masih boleh menikmati suasana meriah menerusi siaran langsung di Madison Square dengan waktu kemasukan terakhir ditetapkan pada 11 malam.
Bagi melengkapkan pengalaman perayaan di atas puncak awan, RWG turut menawarkan pelbagai pilihan santapan di Coffee Terrace melalui bufet Krismas dan Tahun Baharu pada harga RM128 untuk dewasa dan RM78 untuk kanak-kanak, manakala Park Avenue Restaurant menyediakan menu perayaan eksklusif pada harga RM250 seorang.
Trattoria Il Lago turut menyertai kemeriahan dengan menawarkan set menu Krismas dan Tahun Baharu pada harga RM118 bagi setiap set.
Orang ramai yang ingin mendapatkan maklumat lanjut mengenai acara dan tempahan boleh melayari laman web rasmi rwgenting.com atau mengikuti platform media sosial rasmi Resorts World Genting.




