RR Pop-Up Store dan Koleksi “Barzanji” & “Empire” Diperkenalkan Sempena 20 Tahun Rizman Ruzaini
- oleh Mohd Indera
- 8 minit lalu

Jenama fesyen terkemuka tanah air, Rizman Ruzaini (RR), meraikan ulang tahun ke-20 dengan pembukaan Pop-Up Store eksklusif di IOI Mall Putrajaya.
Majlis pelancaran ini bukan sahaja menandakan pencapaian penting dalam industri fesyen, tetapi juga memperkenalkan dua koleksi istimewa, iaitu “Barzanji” dan “Empire”, yang menjadi tumpuan utama peminat fesyen tanah air.
Pop-Up Store yang berlangsung sepanjang bulan Ramadan ini menawarkan pelbagai koleksi RR dengan potongan harga sehingga 70%, termasuk beberapa koleksi terdahulu yang kini tersedia dengan diskaun eksklusif.
Pembukaan stor ini memberikan peluang kepada peminat fesyen untuk mendapatkan koleksi khas Rizman Ruzaini dengan akses lebih mudah tanpa perlu ke Kuala Lumpur.
Salah satu kejutan utama sempena ulang tahun RR ke-20 adalah pelancaran koleksi “Barzanji”. Pada asalnya, koleksi ini tidak dirancang untuk diperkenalkan tahun ini, namun atas permintaan tinggi daripada peminat, Rizman Ruzaini memutuskan untuk melancarkannya dalam versi lebih sederhana dengan tiga jenis rekaan istimewa.
Koleksi ini menampilkan elemen eksklusif yang mencerminkan keunikan sentuhan RR, menjadikannya antara koleksi yang dinanti-nantikan.
Selain “Barzanji”, RR turut memperkenalkan koleksi mewah “Empire” yang diinspirasikan daripada keagungan fesyen diraja.
Dengan tema “Empress” untuk Hari Raya tahun ini, koleksi ini menawarkan rekaan yang penuh keanggunan dan eksklusif.
Setiap helaian dalam koleksi ini dihasilkan dalam jumlah yang sangat terhad, menjadikannya pilihan utama bagi mereka yang mengutamakan gaya mewah dan eksklusiviti dalam berfesyen.
Majlis pelancaran ini turut dimeriahkan dengan sesi Meet & Greet bersama pereka duo terkenal Rizman dan Ruzaini serta selebriti Mila Firzah.
Turut memeriahkan acara ini adalah persembahan daripada artis terkenal seperti Bunga dan Jaclyn Victor, yang telah menghiburkan kepada para hadirin.
Pemilihan IOI Mall Putrajaya sebagai lokasi Pop-Up Store adalah satu langkah strategik bagi Rizman Ruzaini dalam memperluaskan capaian jenama mereka.
Dengan kedudukan strategik pusat beli-belah ini yang menjadi tumpuan pelanggan dari Nilai, Kajang, dan Bangi, RR memastikan lebih ramai peminat dapat menikmati koleksi eksklusif tanpa perlu ke lokasi utama di Kuala Lumpur.
Selain pembukaan Pop-Up Store ini, Rizman Ruzaini turut mengumumkan perancangan untuk membuka butik baharu di Kuala Lumpur dalam masa terdekat.
Jenama ini juga bakal memperkenalkan koleksi sepanjang tahun seperti Spring/Summer dan Fall/Winter, sebagai langkah untuk terus relevan dalam dunia fesyen dan memenuhi permintaan pasaran yang semakin berkembang.
Sempena ulang tahun ke-20 ini, RR bukan sahaja meraikan kejayaan mereka dalam industri fesyen, tetapi juga membuktikan komitmen untuk terus memberikan yang terbaik kepada pelanggan setia.
Para peminat fesyen dijemput mengunjungi RR Raya Pop-Up Store di IOI Mall Putrajaya sepanjang bulan Ramadan ini untuk mendapatkan koleksi eksklusif serta menikmati tawaran istimewa yang hanya tersedia untuk tempoh terhad.