RPGIO Teruja Jadi Kumpulan Pembuka Tirai Untuk Konsert Kasi Gegar Cromok vs Amuk
- oleh Mohd Indera
- 9 minit lalu

Kumpulan thrash metal India pertama Malaysia, RPGIO melakar sejarah baharu apabila dipilih sebagai kumpulan pembuka tirai untuk Konsert Kasi Gegar Cromok vs Amuk yang berlangsung jam 9 malam ini di N9 Arena Stadium, Nilai.
RPGIO meluahkan rasa bangga atas identiti mereka sebagai pelopor muzik thrash metal dalam komuniti India Malaysia.
Pengasas, penerbit dan pengurus RPGIO, K. Mogan berkata, peluang untuk membuka persembahan bagi dua nama besar dalam dunia rock tempatan itu merupakan satu penghormatan besar buat kumpulannya.
“Kami berbesar hati menjadi kumpulan India pertama yang diberi penghormatan membuka pentas untuk ikon metal lagenda Malaysia, Cromok dan Amuk, di Konsert Kasi Gegar yang diadakan di Stadium N9 Arena, Nilai.
“Detik ini bukan sahaja menandakan lembaran baharu buat RPGIO, tetapi juga buat seluruh komuniti muzik India Malaysia.” katanya.
RPGIO ditubuhkan pada tahun 2003 oleh pengasasnya K. Mogan, atau lebih dikenali sebagai Joe, dan kini dianggotai oleh John Zi (vokal), Dhieran (gitar), Nemo (bes), Mohan Joel (dram), dan Francis (gitar). Mereka bernaung di bawah label iStudio.
Single pertama kumpulan ini, THR, diterbitkan pada 2007 untuk stesen radio THR Raaga, diikuti lagu Tamil Silky Sista pada 2010. Tahun lalu, RPGIO turut berkolaborasi dengan Sam dari Cromok dalam lagu Varudhu Metal.
Konsert malam ini bakal menyatukan dua nama besar dalam dunia rock Malaysia — Cromok yang telah 34 tahun dalam industri dan Amuk yang terus menggegarkan pentas selepas 27 tahun.
Penonton dijangka akan disajikan dengan persembahan yang bertenaga sejak awal malam, dengan RPGIO membuka pentas membawa semangat baru buat metal tempatan.