Rosyam Nor Lancar SPANA di Semenyih, Bengkel ‘Rider Jaga Rider’ Fokus Penunggang 250cc ke Bawah
- oleh MDaily Editor
- 14 Feb 2026 2:56 pm
Tokoh usahawan dan pelakon terkenal, Datuk Rosyam Nor terus mengorak langkah agresif dalam dunia perniagaan apabila melancarkan pusat servis motosikal berkuasa 250cc ke bawah dikenali sebagai SPANA, yang mula beroperasi di sini, hari ini.
Rosyam yang juga Pengerusi merangkap Duta SPANA berkata, pembukaan bengkel tersebut dibuat berasaskan realiti bahawa Malaysia kini mempunyai lebih 16 juta motosikal yang menjadi nadi pengangkutan utama rakyat, khususnya golongan berpendapatan rendah (B40) dan pekerja ekonomi gig.
Menurutnya, keperluan terhadap bengkel yang menawarkan servis telus, berkualiti dan mampu milik amat mendesak, terutama bagi penunggang motosikal berkuasa 250cc ke bawah.
“Menjawab keperluan itu, SPANA tampil dengan konsep ‘Rider Jaga Rider’ model perniagaan yang menggabungkan fasiliti premium, mekanik berpengalaman serta harga kompetitif.
“SPANA bukan sekadar bengkel biasa, sebaliknya satu gerakan komuniti yang menyentuh soal maruah dan keselamatan penunggang motosikal di jalan raya, terutama selepas waktu tengah malam.
“Apabila seseorang tersadai di tepi jalan pada jam 3 pagi, ketika itulah kita faham nilai bantuan yang ikhlas. Kami mahu semua penunggang motosikal tahu mereka tidak bersendirian di jalan raya,” katanya ketika ditemui selepas majlis pelancaran di sini.

Rosyam menunjukkan motosikal yang bakal digunakan mekanik untuk membantu penunggang motosikal lain yang rosak di jalan raya sekitar Semenyih
Turut hadir, rakan kongsi SPANA, Nik Mahmud Nik Wan dan Penasihat SPANA, Datuk Dr Noor Hisham Mohd Noor.
Rosyam menjelaskan, SPANA berpegang kepada prinsip “Servis Gaya T20, Harga B40”, memastikan setiap pelanggan menerima layanan kelas pertama tanpa kos tersembunyi.
Selain itu, SPANA memperkenalkan pakej keahlian tahunan RM100 setahun yang menawarkan pelbagai manfaat termasuk bantuan baik pulih serta kecemasan 24 jam.
Dalam masa sama, pembukaan SPANA turut membuka peluang pekerjaan kepada anak muda khususnya golongan B40 dan lepasan sijil kemahiran TVET.
“SPANA bukan sahaja membantu penunggang motosikal, malah mahu melahirkan lebih ramai usahawan bengkel dalam kalangan anak muda supaya mereka mampu keluar daripada garisan kemiskinan tegar.
“Kami bersedia bergabung dengan pelbagai agensi kerajaan bagi membantu generasi muda, khususnya orang Melayu, memiliki bengkel motosikal sendiri,” katanya.
Sempena pelancaran, SPANA turut menganjurkan pertandingan Video Terpaling Viral, Contest Pocket Bike serta cabutan bertuah yang disiarkan secara langsung menerusi platform TikTok rasmi SPANA.
Motosikal Yamaha Y16 antara hadiah cabutan bertuah ditawarkan kepada pengunjung sempena pembukaan cawangan Pertama SPANA di Semenyih hari ini.
Mengulas perancangan masa depan, Rosyam berkata, SPANA menyasarkan pembukaan cawangan baharu di Bangi, Kajang, Cheras dan Shah Alam menjelang 2027 bagi membina ekosistem sokongan komuniti penunggang motosikal di Selangor dan Lembah Klang.




