Rosyam Nor, Erra Fazira ‘Kembali Bersatu’ Sebagai Duta ACGAS 2026
- oleh MDaily Editor
- 5 Feb 2026 8:50 pm
Selepas sekian lama tidak muncul dalam satu naskhah besar, gandingan ikonik layar perak, Dato’ Rosyam Nor dan Primadona Filem Melayu, Erra Fazira, kembali ‘bersatu’.
Bagaimanapun, penyatuan semula dua nama besar ini bukan menerusi sekuel filem Janji Diana, sebaliknya dipilih sebagai Duta Jenama ACGAS bagi tahun 2026.
Pelantikan tersebut diumumkan oleh Ketua Pegawai Eksekutif ACGAS, Nik Mohd Fareez Nik Ahmad Azman, yang menyifatkan gandingan itu sebagai langkah strategik bagi mengubah persepsi masyarakat terhadap keselamatan penggunaan gas domestik di Malaysia.
Bagi Rosyam Nor, kerjasama ini merupakan kesinambungan kepada hubungan profesional mereka yang bermula sejak program podcast Hitam Putih Kehidupan tahun lalu, yang mencatatkan rekod 250 juta tontonan.

“Daripada perkenalan dalam podcast itu yang ditaja oleh ACGAS, kami mula mengenali produk ini dengan lebih dekat sehingga akhirnya ‘jatuh cinta’.
“Hari ini, percintaan itu dimeteraikan menerusi pelantikan kami sebagai duta. Kami teruja kerana ingin membawa mesej keselamatan ke setiap rumah. Ramai tidak sedar tong gas tradisional mempunyai risiko, tetapi silinder ACGAS diperbuat daripada bahan tahan lasak seperti Kevlar dan karbon fiber yang bersifat kalis peluru serta tidak meletup,” katanya pada majlis pelancaran di sini, hari ini.
Sementara itu, Erra Fazira mengakui tertarik dengan produk tersebut kerana ciri fizikalnya yang ringan, sekali gus memudahkan urusan golongan wanita dan suri rumah di dapur.

“Sebagai wanita, kita mendambakan peralatan dapur yang praktikal. Silinder ACGAS ini sangat ringan sehingga saya boleh angkat dengan sebelah tangan sahaja.
“Selain faktor keselamatan dan teknologi IoT (Internet of Things) yang memudahkan pesanan melalui aplikasi, saya bangga kerana ini adalah produk lokal yang sepatutnya kita sokong,” jelasnya yang turut menyifatkan kerjasama ini sebagai satu ‘perkahwinan’ jenama yang cukup serasi.
Dalam pada itu, Nik Mohd Fareez menjelaskan ACGAS kini sedang memacu revolusi “Smart Energy” dengan pelaburan mencecah RM100 juta bagi membangunkan fasiliti pembuatan silinder komposit di tanah air.
Langkah ini bukan sahaja bertujuan memenuhi permintaan domestik, malah bakal meletakkan Malaysia sebagai hab eksport bagi pasaran Asia.

”Visi kami adalah menjadikan silinder komposit sebagai standard keselamatan baharu. Dalam tempoh lima hingga sepuluh tahun, kami menyasarkan untuk menguasai sekurang-kurangnya 10 peratus pasaran LPG di Malaysia dengan menggantikan silinder besi tradisional secara berperingkat,” katanya.
Selain inovasi produk, ACGAS turut memperkasakan ekosistem digital menerusi aplikasi mudah alih yang membolehkan pengguna menjejak bekalan gas secara masa nyata dan berpeluang memenangi hadiah lumayan, termasuk sebuah rumah bagi pengguna bertuah.




