Ikuti Kami:

Rossa Kembali dengan Konsert “Here I Am” di Axiata Arena – Persembahan Lebih Besar & Berbeza!

Rossa Kembali dengan Konsert “Here I Am” di Axiata Arena – Persembahan Lebih Besar & Berbeza!

Ratu Pop Indonesia, Dato’ Sri Rossa Roslaina, bakal kembali menggegarkan pentas Malaysia dengan konsert solo terbarunya, Here I Am, yang akan berlangsung di Axiata Arena, Bukit Jalil pada 14 Jun 2025.

Setelah kejayaan siri jelajahnya sebelum ini, Rossa kini bersedia untuk memberikan sesuatu yang lebih istimewa buat peminat setianya.

Konsert yang dianjurkan oleh Yayasan Prihatin Nasional (PRIHATIN) dan Inspire Production dengan kerjasama Sah Entertainment ini dijangka menjadi antara persembahan terbesar Rossa di Malaysia.

Tidak hanya sekadar sebuah konsert, Here I Am membawa konsep baharu dengan pelbagai kejutan, kolaborasi menarik serta susunan muzik yang lebih segar dan kreatif.

Menurut Rossa, pemilihan nama Here I Am adalah simbol kepada perjalanan seninya yang telah membentuk dirinya hingga ke tahap ini.

“Konsert ini bukan sekadar hiburan, tetapi satu refleksi perjalanan karier saya – dari lagu-lagu hits, pencapaian anugerah, hingga momen-momen penting dalam hidup saya sebagai seorang artis,” jelasnya.

Selain menjadi pentas nostalgia bagi peminat yang telah mengikuti Rossa sejak awal kerjayanya, konsert ini juga membawa misi kebajikan.

Ketua Pegawai Eksekutif PRIHATIN, Dato’ Aizuddin, menyatakan bahawa sebahagian hasil jualan tiket akan disalurkan ke Tabung Kasih Prihatin bagi membantu bidang pendidikan dan kebajikan.

“Penganjuran Konsert Dato’ Sri Rossa ini akan meneruskan kerjasama strategik dengan saya dan PRIHATIN untuk tujuan kebajikan yang telah kami mulakan dan sama-sama berkolaborasi sejak tahun 2012 lagi,”

“Saya bersyukur kerana Dato’ Sri Rossa sentiasa prihatin dengan aktiviti kebajikan di Malaysia dan sentiasa bekerjasama untuk penganjuran konsert yang bukan bersifat komersial semata-mata. Rossa bersetuju untuk sama-sama mencari dana bagi tujuan pendidikan dan kebajikan melalui jualan tiket seterusnya menyalurkan sebahagian hasil jualan ke Tabung Kasih Prihatin,”

“Dalam masa yang sama, PRIHATIN mengalu-alukan pihak korporat dan orang perseorangan untuk membeli tiket Royale, First Class dan Executive seterusnya memberi sumbangan kepada mereka yang memerlukan dalam bidang pendidikan melalui konsep “Berhibur Sambil Beramal”.

Harga tiket konsert bermula dari RM228 (Festival) hingga RM788 (Diamond Center), dan boleh didapati di www.ticket2u.com.

Peminat yang memiliki kad kredit dan debit Mastercard serta Visa Maybank juga berpeluang mendapatkan diskaun istimewa sehingga 10% semasa hari pra-jualan tiket pada 14 Februari 2025.

Buat peminat setia Rossa, konsert ini bukan sekadar persembahan biasa – ia adalah kepulangan istimewa seorang legenda yang telah menempa nama di persada muzik serantau.

Jangan lepaskan peluang untuk menyaksikan Here I Am secara langsung di Axiata Arena!

Komen
Loading...