Rosalinda Kembali Gegar dengan ‘Abe Jahat’, Hasil Sentuhan Eddie Hamid
- oleh Mohd Indera
- 2 minggu lalu
Penyanyi lagu-lagu dialek Kelantan, Rosalinda Dikir Barat yang dikenali dengan hits seperti Ambo Bini Ore Remix, Oh Abe Ku I Love You, Jate Boya 2 dan Comel Rupo, kini tampil dengan single terbaharu berjudul Abe Jahat.
Lagu ini merupakan hasil kolaborasi dengan komposer ternama, Eddie Hamid, bersama penulis lirik Eddy Pring, Mama Ana, Jaju dan Teha, manakala susunan muziknya turut disempurnakan oleh Eddie sendiri.
Menurut Rosalinda, atau nama sebenarnya Shahima Edayu Akma Mohd Alwi, 33, berasal dari Kemaman, Terengganu, idea untuk single ini bermula apabila Eddie menawarkan lagu tersebut kepadanya pada penghujung September lalu.
Melihat kepada reputasi Eddie, Rosalinda tidak berfikir panjang untuk menerima tawaran itu.
“Kalau Eddie Hamid yang bagi lagu, mana mungkin saya menolak. Lagu ini satu irama yang baharu bagi saya, dan melodi yang diketengahkan saya yakin boleh diterima ramai. Proses rakaman pula berjalan lancar, hanya mengambil masa dua minggu sahaja,” katanya.
Meskipun judul Abe Jahat seolah-olah memberi gambaran ia ditujukan kepada kaum lelaki, Rosalinda menegaskan lagu tersebut tidak berkaitan dengan dirinya atau sesiapa secara khusus.
“Lagu ini hanya menggambarkan senario masa kini dalam masyarakat. Tiada niat untuk membuat mana-mana pihak terasa. Harapan saya, lagu ini diterima baik oleh semua pihak sebagai hiburan,” jelasnya, yang merupakan isteri kepada Shahrul Nizam Nasir.
Bagi melengkapkan pelancaran single ini, sebuah video muzik telah dihasilkan dengan pelakon Ejoy Nadia dan Adik Wawa menjayakan watak-wataknya. Menurut Rosalinda, proses penggambaran berjalan lancar dan hanya memerlukan masa sehari untuk disiapkan.
“Video muzik dibuat berdasarkan lirik lagu. Terima kasih kepada Ejoy dan Wawa atas kerjasama mereka,” katanya.
Walaupun terkenal dengan lagu-lagu berirama dangdut dan dialek Kelantan, Rosalinda turut menyimpan impian untuk mencuba pelbagai genre muzik.
“Saya mahu dikenali sebagai penyanyi serba boleh. Impian saya adalah untuk merakam lagu dalam bahasa Melayu biasa selain dialek Kelantan. Saya juga terbuka untuk berduet, asalkan pasangan duet sesuai dengan suara saya,” tambahnya.
Sebagai artis, Rosalinda kerap menerima tawaran mengadakan persembahan di pelbagai lokasi termasuk Selatan Thailand, Pahang, Johor, Kedah dan Kuala Lumpur.
Lagu Abe Jahat kini boleh distrim di semua platform penstriman muzik.