Jabatan Pendaftar Pertubuhan (ROS) mengesahkan bahawa peletakan jawatan Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) pada 24 Februari lalu adalah sah.
Sehubungan itu, dalam satu surat bertarikh 5 Mei dikeluarkan agensi itu yang kini tular di media sosial, menjelaskan bahawa pemangkuan Presiden BERSATU, Tan Sri Muhyiddin Yasin atas jawatan pengerusi parti itu juga sah.
Surat itu memaklumkan, Muhyiddin boleh memangku jawatan itu hingga diadakan semula pemilihan pengerusi selaras dengan perlembagaan BERSATU.
“Berdasarkan dokumen yang dikemukakan – iaitu surat peletakan jawatan pengerusi, ROS mengesahkan peletakan jawatan Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai pengerusi BERSATU adalah sah.
“Pemangkuan jawatan Pengerusi BERSATU oleh Muhyiddin, Presiden BERSATU adalah juga sah dan masih berkuat kuasa selaras dengan peruntukan perlembagaan BERSATU sehingga diadakan pemilihan pengerusi baru,”
Surat itu menjelaskan, Muhyiddin boleh memangku jawatan itu berdasarkan artikel 16.9 perlembagaan BERSATU yang membenarkan keputusan itu dibuat.
ROS juga memaklumkan penilaian ini dibuat berdasarkan dokumen yang diberikan oleh pihak berkaitan.
Dr Mahathir pada Februari meletakkan jawatan Pengerusi BERSATU selepas tidak berpuas hati dengan pendirian partinya yang keluar dari Pakatan Harapan.
Sebelum itu, beliau meletakkan jawatan pula sebagai perdana menteri ke 7 yang mencetuskan kemelut politik yang berlangsung berminggu-minggu di mana pada akhirnya, presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin dipilih oleh Yang DiPertuan Agong sebagai perdana menteri yang baharu setelah baginda yakin beliau mendapat kepercayaan majoriti ahli dewan rakyat.
Foto : The Star