
Kumpulan alternatif tempatan, Roncas, melangkah setapak lagi dalam arena muzik tanah air dengan pelancaran EP sulung berjudul Jahal yang menampilkan enam trek penuh energi serta sarat dengan identiti tersendiri.
Majlis pelancaran dan pra dengar yang berlangsung di HooHaa Studio, Shah Alam, menjadi saksi pengenalan karya baharu Roncas di bawah label Lyme Studios.
EP ini menampilkan trek Kisah Lembu, Jahal, Obskura, Tayam, Karkun Satria dan Pekerja Rencam, masing-masing mengetengahkan tema berbeza daripada satira sosial, konflik batin hingga kebangkitan semula selepas melalui kesukaran hidup.
Menurut pemain dram, Baan, keistimewaan Roncas terletak pada gabungan pengaruh muzik setiap anggota.
“Kami semua ada latar muzik berbeza, daripada 80-an hingga 2000-an. Gabungan itu yang mewujudkan warna tersendiri untuk Roncas. Jahal lahir selepas beberapa tahun bekerja keras, bertukar ahli, dan kini kami lebih stabil untuk tampil kepada umum,” katanya.
Vokalis, Mesir, pula menjelaskan bahawa karya Roncas banyak berangkat daripada perspektif kemanusiaan.
“Contohnya Obskura adalah tentang riba yang melemahkan jiwa manusia, manakala Jahal mengambil simbol watak negatif sebagai refleksi kehidupan. Ia bukan sekadar lagu, tetapi pengalaman untuk berfikir dan merasa. Kami tidak mahu berdakwah, sebaliknya mahu membuka ruang perbincangan,” ujarnya.
Roncas turut memberi perhatian kepada strategi pemasaran melalui cetakan kaset dan CD.
“Kaset adalah satu medium penting kerana di Eropah format itu sudah kembali popular. Di Malaysia mungkin masih ramai pilih CD dan digital, tapi kami mahu mencuba sesuatu yang lebih eksklusif. Ia sebahagian daripada strategi merchandising kami,” jelasnya.
Selain muzik, Roncas turut menitikberatkan visual. Karya seni oleh Ilham Fadli @ Kojek dipilih sebagai imej utama promosi Jahal, menampilkan elemen psychedelic dan simbolisme urban.
“Visual ini mewakili identiti Roncas. Kami mahu ia menjadi simbol yang bukan sahaja mengiringi muzik, tetapi juga menjadi ruang ekspresi seni yang lebih luas,” kata Mesir lagi.
EP Jahal bakal diedarkan dalam format digital, kaset dan CD bermula Disember ini, selain dirancang memasuki platform antarabangsa seperti Spotify, Apple Music dan Bandcamp.
Roncas juga merancang pelancaran video muzik rasmi pada awal 2026 serta merchandise eksklusif hasil kolaborasi bersama jenama tempatan.
Ditubuhkan pada 2022, Roncas kini dianggotai Mesir (vokal/gitar), Dino (gitar utama), Azri (bass) dan Baan (dram). Bermula daripada gig bawah tanah dan festival indie, Roncas kini melangkah ke fasa lebih besar dengan Jahal sebagai EP sulung yang menegaskan kedudukan mereka dalam peta muzik alternatif Malaysia.
Projek ini mendapat sokongan Kementerian Komunikasi melalui Dana Kandungan Kreatif di bawah MyCreative Ventures Sdn Bhd, sekali gus membuka ruang lebih luas kepada Roncas untuk membawa muzik alternatif Malaysia ke peringkat antarabangsa.