Selepas mencetuskan fenomena di Nyala Fest tahun lalu, kumpulan indie terkenal dari Indonesia, Romantic Echoes, bakal kembali ke ibu kota bagi mengadakan konsert solo pertamanya pada 6 Februari depan.
Diberi judul ‘Dentum The First Romantic Echoes Showcase Live In Malaysia’, persembahan itu bakal menyaksikan kumpulan berkenaan beraksi di pentas berprestij Zepp Kuala Lumpur buat julung kalinya.
Bagi menambah kehangatan malam itu, Romantic Echoes turut menampilkan kumpulan indie tempatan, Midnight Fusic, sebagai artis jemputan bagi persembahan pembukaan.

Jurucakap penganjur merangkap Pengurus Projek, Azreel Azhar, berkata keputusan membawa semula kumpulan itu dibuat susulan permintaan luar biasa daripada peminat tempatan.
“Sambutan hangat yang diterima sewaktu Nyala Fest pada penghujung November 2024 menjadi pemangkin utama buat Neptunes Presents untuk menganjurkan showcase solo ini.
“Kami bersama pengurusan Romantic Echoes kini sedang bertungkus-lumus menyajikan sebuah malam yang luar biasa, lengkap dengan elemen kejutan khusus buat mereka yang hadir,” katanya dalam satu kenyataan.
Menurut Azreel, Romantic Echoes dijangka mempersembahkan 18 rangkaian lagu popular yang diambil daripada empat naskhah album mereka.
Menariknya, terdapat beberapa buah lagu yang belum pernah dipersembahkan secara langsung sebelum ini bakal dibawakan khas untuk peminat di Malaysia.
Romantic Echoes cukup dikenali menerusi barisan lagu hits seperti Persembahan Dari Masa Lalu, Paradisa, Amarah, Gaung Asmara dan Yang Kau Hindari Terjadi.

Mengulas mengenai kelainan konsert kali ini, Azreel menjelaskan bahawa konsep yang bakal ditampilkan sangat berbeza bagi meraikan kelab peminat mereka yang dikenali sebagai Divisi Romantis.
“Hubungan antara Romantic Echoes dan Divisi Romantis Malaysia sangat erat walaupun selama ini mereka lebih banyak berkomunikasi di media sosial. Oleh itu, mereka sangat tidak sabar untuk bertentang mata dalam suasana yang lebih intim di Zepp KL.
“Ia bukan sekadar konsert, tetapi satu momen indah dan romantis yang akan meninggalkan kenangan mendalam buat semua,” tambahnya lagi.
Sebelum ini, Romantic Echoes pernah terlibat dalam beberapa acara muzik besar di Malaysia termasuk SoundCircus oleh Art of Speed, selain pernah berkolaborasi dengan kumpulan tempatan, Fugo.
Tiket bagi menyaksikan showcase ini mula dijual kepada orang ramai bermula 30 Disember ini melalui platform Ticket Empire di pautan https://www.myticketempire.com.




