Ikuti Kami:

‘Rockolusi Kuasa Dua’ Satukan Kristal X & Azlan The Typewriter

‘Rockolusi Kuasa Dua’ Satukan Kristal X & Azlan The Typewriter

Dunia muzik rock tanah air bakal menyaksikan detik bersejarah apabila dua generasi pemuzik hebat, Kristal X dan Azlan & The Typewriter (ATT), bersatu di pentas buat pertama kali menerusi konsert Rockolusi Kuasa Dua yang akan berlangsung di Zepp Kuala Lumpur pada 1 Februari 2026.

Dianjurkan oleh Republic Mokhmah Records, konsert ini dianggap sebagai satu pertemuan dua dunia muzik yang berbeza  Kristal X mewakili era legenda rock tempatan, manakala Azlan & The Typewriter pula mencerminkan semangat dan gaya moden generasi baharu.

Menurut wakil Republic Mokhmah Records, Encik Musa, gabungan ini menandakan penyatuan dua era muzik yang menjadi lambang kesinambungan rock Malaysia.

“Rockolusi Kuasa Dua bukan sekadar konsert. Ia satu penghormatan terhadap warisan muzik rock tanah air, di mana dua kumpulan dengan DNA berbeza tampil dalam satu persembahan yang menggambarkan kematangan industri muzik tempatan,” katanya di sidang media di ibukota hari ini.

Penyanyi Kristal X, Lan Solo menyifatkan kolaborasi ini sebagai sesuatu yang unik kerana menyatukan dua zaman berbeza dengan cita rasa muzik berlainan namun tetap berpaksikan semangat rock.

“Penganjur nampak keunikan gabungan kami. Memang pada awalnya bukan mudah sebab muzik Kristal X dan ATT berbeza, tapi muzik itu universal. Bila dah mula berlatih bersama, chemistry tu terbina dengan semula jadi,” katanya.

Lan turut menekankan bahawa konsert ini bukan sekadar berkongsi pentas tetapi juga berkongsi karya dan susunan muzik secara penuh.

“Kali ini kami bukan sekadar berkolaborasi atas pentas, tapi juga dalam muzik. Kami cipta, susun dan berkongsi idea bersama. Lagu Rockolusi sendiri adalah hasil gabungan penuh dua kumpulan,” katanya.

Selain lagu baharu Rockolusi yang menjadi single rasmi kedua-dua band, peminat juga bakal dihidangkan dengan gabungan lagu-lagu nostalgia seperti Seragam Hitam, Luahan Hati, Dilaila dan Memburu Impian dengan susunan muzik baharu yang lebih segar dan bertenaga.

Sementara itu, vokalis Azlan & The Typewriter, Azlan, menzahirkan rasa syukur dan penghargaan atas kepercayaan yang diberikan oleh pihak penganjur serta Kristal X dalam merealisasikan konsert berkenaan.

“Pertama sekali, saya ingin mengucapkan terima kasih kepada pihak Republic Mokhmah Records dan Lan bersama pasukan Kristal X atas keyakinan mereka terhadap kami. Walaupun kami tidak mempunyai banyak lagu popular, namun dengan semangat dan pemikiran positif, kami sepakat untuk terima tawaran ini.”

“Kami percaya rezeki datang daripada Allah SWT, dan peluang ini amat kami hargai,” katanya.

Lan Solo turut mengakui bahawa Rockolusi Kuasa Dua merupakan konsert terbesar dalam jadual Kristal X bagi tahun 2026.

“Ini konsert paling besar kami untuk tahun depan. Alhamdulillah, sambutan tiket pun dah mula bergerak terutama bagi kategori premium. Peminat lama masih setia dan peminat baharu pula semakin ramai,” ujarnya.

Menariknya, konsert ini turut menampilkan Noghoi Arts School Voice Ensemble (NASVE), kumpulan koir muda berbakat dari Negeri Sembilan yang pernah menjuarai peringkat negeri dan berada di tempat keempat peringkat kebangsaan.

Lebih istimewa, NASVE turut dianggotai oleh anak kepada dua vokalis utama konsert, Lan Solo dan Azlan, menjadikan persembahan ini sarat dengan nilai warisan muzik keluarga.

Tiket Rockolusi Kuasa Dua: Kristal X dan Azlan The Typewriter boleh dibeli menerusi www.ilassotickets.com dengan harga bermula RM168, RM188, RM248, RM348 dan Royal Box RM8,000 untuk 10 orang.

Konsert ini dijangka menjadi simbol penyatuan dua generasi rock Malaysia, menandakan permulaan tahun baharu yang penuh semangat dan tenaga buat peminat muzik tempatan.

Foto Oleh: Papadin.

Komen
Loading...